KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R Ramanan mengumumkan hasratnya untuk menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti kali ini.
Ramanan yang baharu sahaja menang tanpa tanding Ketua Cabang Sungai Buloh berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pelbagai pihak dalam parti termasuk pimpinan, sahabat seperjuangan serta anggota Keadilan di seluruh negara.
“Matlamat utama saya adalah untuk memperkukuhkan dan memperkasakan parti Keadilan dari peringkat akar umbi sehingga ke pimpinan pusat.
“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia Madani dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Sungai Buloh mendedahkan beliau juga telah mendapatkan restu daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengumumkan keputusannya.
Beliau menegaskan, komitmennya dalam memperjuangkan agenda reformasi dan berjanji untuk terus bekerja keras demi rakyat serta memastikan PKR kekal sebagai parti yang kuat dan berdaya saing.
Pemilihan PKR kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit dengan pelbagai calon menawarkan diri untuk mengisi jawatan tertinggi dalam parti.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Fuziah berkata, pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat pula akan dilaksanakan pada 24 Mei. – MalaysiaGazette















