Foto: ASB

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sebanyak 5.50 sen seunit, manakala Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5.00 sen seunit.

Agihan dana utama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 itu melibatkan jumlah keseluruhan RM2.18 bilion, masing-masing RM0.73 bilion bagi ASB 2, manakala RM1.45 bilion (ASM).

PNB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pengagihan dividen itu akan memberi manfaat kepada 614,309 pemegang unit ASB 2 yang memiliki 14.12 bilion unit, serta 740,513 pemegang unit ASM dengan pegangan 29.14 bilion unit.

Tambahnya, sehingga 20 Mac lalu, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.80 bilion, manakala ASM mencatatkan RM1.55 bilion.

“Walaupun berdepan persekitaran pasaran global yang mencabar ekoran ketegangan tarif, inflasi yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi, pengagihan pendapatan bagi ASB 2 sebanyak 5.50 sen seunit dan ASM sebanyak 5.00 sen seunit mencatatkan peningkatan sebanak 0.25 sen seunit berbanding tahun lalu.

“Dana-dana ini juga telah menunjukkan peningkatan progresif sepanjang tiga tahun lalu, mencerminkan komitmen PBN untuk meningkatkan pulangan yang memperkukuh daya tahan portfolio,” katanya.

Tambahnya, pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM itu adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.50 peratus dan 5.00 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.56 peratus sebanyak 294 mata asas untuk ASB 2 dan 244 mata asas untuk ASM.

Jelasnya, prestasi kukuh kedua-dua dana harga tetap itu didorong oleh pulangan ekuiti domestik dan global yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan merentasi geografi dan kelas aset.

“Melangkah ke hadapan, PNB akan terus memperluaskan kepelbagaian aset, terutamanya dalam pendapatan tetap, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan konsisten,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast