Aksi pemain beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin sewaktu menentang pasukan dari beregu Indonesia, Alfian dan Ardianto pada perlawanan pusingan separuh akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara ke pentas final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu tidak tercapai

Ini kerana pilihan utama kejohanan itu tewas di tangan wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi 16-21, 21-18, 20-22 pada aksi separuh akhir, semalam.

Namun pujian wajar diberikan kepada Sze Fei-Izzuddin yang berhempas pulas untuk cuba menempah tiket final tetapi mereka terpaksa akur selepas berjuang selama satu jam tujuh minit.

Pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, Sze Fei-Izzuddin yang tewas di set pertama berjaya bangkit pada set kedua, tetapi nasib tidak memihak kepada mereka ketika berdepan situasi getir pada set penentuan.

Kekalahan itu turut meleburkan rekod tanpa kalah Sze Fei-Izzuddin ke atas Bo Yang-Liu Yi selepas menang kedua-dua pertemuan sebelum ini di Terbuka Amerika Syarikat 2023 dan Terbuka China 2024.

Sze Fei-Izzuddin kempunan untuk muncul juara tahun lalu selepas tumpas di tangan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final.

Tersingkirnya Sze Fei-Izzuddin menyaksikan impian untuk menyaksikan final sesama Malaysia dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian, dengan hanya tinggal Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran di BAC kali ini.

Bekas juara dunia itu berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-16, 21-11 dalam aksi suku akhir dan akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang bagi perebutan tiket ke final, hari ini. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast