KUALA LUMPUR – Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menjadi pemimpin kedua PKR membuat rayuan terhadap keputusan pemilihan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu menerima 2,684 undi dan tewas merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Petaling Jaya di tangan penyandangnya, Ahmad Akhir Pawan Chik memperoleh 2,819 undi.
Alasan yang dikemukan Mohammad Fahmi sama seperti sebab yang dikemukan Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung yang membuat rayuan berhubung keputusan pemilihan parti cabang Petaling Jaya.
Mohammad Fahmi berkata, sejak keputusan pemilihan Cabang KEADILAN Selangor diumumkan, dia telah menerima pelbagai panggilan dan mesej yang mempersoalkan ketelusan keputusan yang dikeluarkan serta proses pemilihan tersebut.
“Selepas berbincang bersama pasukan, saya telah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
“Kami yakin bahawa KEADILAN sebagai sebuah parti reformasi mempunyai sistem yang adil dan melalui proses ini, kami amat berharap agar segala keraguan dapat diperjelaskan demi memastikan hak semua ahli parti dijaga dengan adil dan saksama.
“Bagi saya, demokrasi bukan hanya soal keputusan tetapi soal proses yang telus dan berintegriti. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terus bersama saya dalam perjalanan ini. Kita akan terus mara dengan semangat reformasi demi sebuah perjuangan yang adil, telus dan terbuka untuk semua,” katanya.
Terdahulu Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya akan membuat rayuan berhubung keputusan pemilihan parti cabang Petaling Jaya.
Beliau yang tewas kepada penyandang kerusi, Hee Loy Sian berkata, telah menerima banyak panggilan dan mesej yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan tersebut.
Chean Chung memperoleh 2,684 undi, di belakang Loy Sian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang berjaya meraih 2,900 undi.- MalaysiaGazette















