KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mencatat pencapaian yang membanggakan apabila merekodkan Kadar Bekerja Graduan (GE) sebanyak 96.5 peratus dan Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) sebanyak 96.4 peratus pada tahun 2024, mengatasi sasaran GM nasional yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pada 86.4 peratus.
Naib Canselor, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, kadar itu adalah yang tertinggi dicatatkan dalam tempoh lima tahun terakhir.
“Pencapaian ini hasil komitmen berterusan universiti dalam memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja berpengetahuan malah kompeten, berketrampilan serta berdaya saing dalam pasaran kerja yang mencabar.
“Kenaikan peratusan itu juga membuktikan keupayaan dan kesungguhan UTHM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan industri, agensi kerajaan serta komuniti, selain menyediakan pendidikan berasaskan keperluan industri,” katanya.

Peningkatan tersebut turut membuktikan pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh UTHM dalam memperkukuhkan ekosistem pembangunan kerjaya pelajar mula membuahkan hasil.
Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada pencapaian tersebut termasuklah penubuhan Portal Job Centre UTHM yang menyediakan maklumat berkaitan peluang pekerjaan dan latihan industri serta menjadi medium penghubung aktif antara pelajar dan pihak industri.
UTHM turut memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan industri melalui sesi libat urus secara konsisten, selain mengadakan perbincangan berkala berkaitan isu kebolehpasaran serta peluang pekerjaan secara langsung kepada pelajar.
Sementara itu, UTHM juga melantik seramai 23 Career Coach bertauliah, yang terdiri daripada staf akademik di setiap fakulti serta staf Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA) bagi memberi bimbingan kerjaya kepada pelajar.
Manakala program ‘Finishing School’ secara komprehensif pula dilaksanakan untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar mengenai realiti dunia pekerjaan, termasuk kemahiran insaniah, etika profesional, penjenamaan diri, teknik penulisan resume, serta persediaan menghadapi sesi temuduga dan kehidupan pascakerjaya.
Selain itu, beberapa inisiatif lain yang diambil turut dibiayai melalui geran dan dana daripada KPT seperti PACE, CAP dan Dana Intervensi GE.
Geran tersebut digunakan bagi melaksanakan program reskilling dan upskilling yang menjurus kepada penguasaan kemahiran tambahan selari dengan kehendak industri semasa.
UTHM juga turut menganjurkan ‘Career Fair’ dan ‘Mini Career Fair’ secara berkala bagi menghimpunkan pelbagai syarikat industri tempatan dan antarabangsa, serta Alumni bagi memberi bimbingan dan perkongsian pengalaman kepada pelajar.
“UTHM akan terus komited dalam memperkukuh dasar dan strategi pembangunan kerjaya pelajar demi memastikan kecemerlangan institusi ini kekal lestari dalam era persaingan global, sekali gus membantu pembangunan ekonomi dan sosial negara,” tambah Dr Ruzairi. – MalaysiaGazette