Dua lelaki ditahan polis disyaki menggunakan resit palsu untuk menipu pemilik restoran selepas makan di Shah Alam, Selangor

SHAH ALAM – Taktik seorang juruaudit dan pekerja sendiri yang menggunakan resit palsu terbongkar selepas pemilik sebuah restoran menyedari tiada transaksi pembayaran masuk ke dalam akaun perniagaan miliknya pada 14 dan 20 April lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berjaya menahan kedua-dua individu itu jam 2.50 pagi, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang peniaga wanita berusia 35 tahun yang mengalami kerugian berjumlah RM348.10 dalam dua insiden berlainan.

“Pada 20 April setelah menyedari dirinya telah ditipu oleh seorang pelanggan yang menggunakan taktik memalsukan resit transaksi atas talian sebagai bukti pembayaran.

“Menurut mangsa, kejadian dilaporkan berlaku pada 14 April 2025, sekitar jam 10.18 malam, semasa mangsa berada di premis perniagaan.

“Suspek tidak dikenali telah menunjukkan resit pembayaran atas talian berjumlah RM304.50 sebagai bukti pembelian.

“Mangsa memaklumkan, ini merupakan kali kedua individu sama menggunakan taktik serupa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular di laman sosial Threads berhubung satu kes penipuan membabitkan penggunaan resit pembayaran palsu yang dilaporkan berlaku di sebuah restoran di Seksyen 13, di sini.

Hantaran yang dikongsikan pemilik akaun budak_kampung78 antara lain menyatakan lelaki terbabit mahu membuat pembayaran secara tanpa tunai dan enggan menggunakan kod QR.

Menurut netizen terbabit, lelaki tersebut hanya meminta pemilik restoran memberikan nombor akaun bank dan kemudiannya menunjukkan slip pembayaran palsu bernilai RM300 yang kononnya bukti transaksi.

Mohd Iqbal juga berkata, semakan mendapati lelaki berusia 34 tahun mempunyai tiga rekod lampau, manakala tangkapan berusia 35 tahun pula memiliki beberapa rekod lampau masing-masing berkaitan pelbagai kesalahan jenayah.

Susulan tangkapan itu, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 April ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda dan juga boleh dikenakan sebat jika didapati bersalah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Iqbal mengingatkan para peniaga agar sentiasa berwaspada terhadap resit pembayaran digital, khususnya yang diserahkan oleh pelanggan secara manual atau tangkap layar.

“Sebarang transaksi hendaklah disemak terus melalui sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast