GEORGE TOWN – Seramai 17 individu dikehendaki polis antara 116 suspek ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang menerusi Operasi Mega Noda/Op Cantas bermula 19 hingga semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, seramai 479 individu diperiksa membabitkan serbuan di 60 buah premis sebelum 116 individu ditangkap.
“Mereka ditahan termasuk 12 suspek yang didapati positif dadah melalui ujian saringan air kencing serta 17 individu tersenarai sebagai dikehendaki polis.

“Hasil operasi ini juga telah berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah kekerasan yang berlaku di daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Hamzah, operasi itu dilaksanakan di semua daerah dalam Kontinjen Pulau Pinang secara bersepadu dengan penyertaan agensi-agensi luar, khusus bagi menangani serta mencegah kegiatan jenayah secara holistik.
“Objektif operasi ini adalah untuk melakukan serbuan dan tangkapan ke atas lokasi-lokasi serta suspek-suspek yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan jenayah indeks di seluruh kawasan dalam negeri ini.
“Kita menyasarkan elemen maksiat dan gangsterisme, penjenayah berpotensi seperti penagih serta pengedar dadah, termasuklah mengesan suspek-suspek bagi kes jenayah kekerasan yang masih bebas.
“Operasi ini juga membuktikan komitmen PDRM, khususnya polis Pulau Pinang dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette















