LONDON – Manchester United membuat perancangan awal musim depan apabila mulai memburu perancang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha bagi mempertajamkan barisan serangan mereka.
Pakar perpindahan terkenal, Fabrizio Romano mengesahkan rundingan antara kedua-dua pihak sedang berlangsung dengan nada yang positif.
Man United dikatakan mendahului kelab-kelab lain dalam usaha mendapatkan pemain Brazil itu, yang memiliki klausa pelepasan sebanyak €73 juta (RM368 juta).
Kelab itu dijangka melepaskan Marcus Rashford yang kini dipinjamkan ke Aston Villa bagi mencari dana tambahan dari segi kewangan.
Ketika ini, prestasi Cunha bersama Wolves musim ini cukup mengagumkan apabila menjaringkan 16 gol dan membuat empat bantuan jaringan yang membuktikan ketajamannya di hadapan gawang gol.
Tambahan pula, gaya permainan Cunha yang serba boleh amat serasi dengan formasi 3-4-2-1 yang digemari oleh pengurus United, Ruben Amorim.
Walaupun Cunha baru saja memperbaharui kontraknya bersama Wolves pada Februari lalu, dia secara terbuka mengakui bersedia untuk mencari cabaran baharu dalam kariernya.
Dia pernah beraksi di Jerman dan Sepanyol, dan kini membuktikan kehebatannya di musim kedua dalam bola sepak Inggeris.
Bagaimanapun sikap panas baran Cunha sedikit merisaukan kerana pernah bergaduh dengan pegawai keselamatan ketika kekalahan di laman sendiri pada Disember tahun lalu dengan mencabut cermin mata pegawai berkenaan dan menyikunya.
Pemain yang 13 kali mewakili Brazil itu turut digantung empat perlawanan selepas dilayangkan kad merah kerana menyerang pemain Bournemouth, Milos Kerkez ketika aksi Piala FA bulan lalu. – Agensi