Pempengaruh Aliff Ahmad hadir bagi memberi keterangan berkaitan tawarannya untuk membuat semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah Anwar, anak kepada Perdana Menteri di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 APRIL 2025

CYBERJAYA – Pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad, hadir di bangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada jam 11.19 pagi tadi.

Kehadirannya ke situ adalah memberi keterangan berhubung tawarannya melakukan semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah Anwar, anak kepada Perdana Menteri.

Aliff, yang berpakaian santai dengan baju hitam bertulis ‘non-partisan’, kelihatan tenang ketika memasuki premis MCMC.

“Kebebasan bersuara,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette sebelum memasuki bangunan itu.

Aliff sebelum ini memaklumkan melalui media sosial bahawa beliau dipanggil untuk dirakam keterangan oleh pihak berkuasa.

Tindakan MCMC memanggil Aliff untuk siasatan menimbulkan pelbagai reaksi, dengan sesetengah pihak menyifatkannya sebagai keterlaluan dan berpotensi menjadi satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Ini kerana, Aliff pernah melakukan semakan latar belakang terhadap beberapa tokoh politik utama negara seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng tanpa sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurul Izzah Anwar menyatakan ketegasannya untuk tidak membiarkan sebarang fitnah terhadap dirinya.

Beliau berkata, walaupun cacian dan makian sudah menjadi kebiasaan dalam dunia politik, fitnah adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan.

Nurul Izzah telah membuat laporan polis terhadap penyebaran video yang didakwa memfitnah beliau di laman media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here