Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kewartawanan Alam Sekitar yang diadakan di Pusat Konservasi Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kewartawanan Alam Sekitar yang diadakan di Pusat Konservasi Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah

MELAKA – Seramai 47 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka menyertai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kewartawanan Alam Sekitar yang diadakan di Pusat Konservasi Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah.

Program anjuran Kelab Kewartawanan Mahasiswa UiTM itu membawa tema ‘Menjaga Alam, Mewartakan Harapan’ bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan hidupan marin selain mengasah kemahiran kewartawanan berteraskan kelestarian alam sekitar.

Pusat konservasi yang dikendalikan Jabatan Perikanan Negeri Melaka itu menjadi lokasi pemuliharaan dua spesies penyu yang semakin terancam, iaitu penyu agar dan penyu karah.

Penasihat program, Shafezah Abdul Wahab berkata, pendedahan secara langsung di lapangan mampu memperkasa mahasiswa dalam memahami peranan kewartawanan alam sekitar terhadap naratif pembangunan lestari.

“Program ini bukan sahaja mendekatkan pelajar kepada usaha konservasi, malah memberi peluang mereka menghasilkan laporan dan rencana yang berpaksikan realiti di lapangan,” katanya.

Antara aktiviti utama sepanjang program ialah sesi taklimat bersama pegawai Jabatan Perikanan berkaitan biologi serta ancaman terhadap penyu, demonstrasi pemindahan telur ke kawasan inkubasi selamat, proses penetasan telur dan gotong-royong membersihkan kawasan pantai.

Anak penyu yang berada di Pusat Konservasi Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah
Anak penyu yang berada di Pusat Konservasi Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah

Turut diadakan, bengkel penulisan berita alam sekitar yang memberi peluang kepada peserta menghasilkan laporan berdasarkan pemerhatian dan temu bual bersama pegawai konservasi.

Peserta program, Wan Nur Khatijah Wan Ahmad Hussaini menyifatkan penyertaan pelajar daripada pelbagai bidang pengajian memberi nilai tambah kepada pendekatan kewartawanan yang lebih holistik.

“Kami percaya isu alam sekitar bukan hanya milik satu disiplin sahaja. Jurnalisme berperanan membuka mata masyarakat terhadap pentingnya keseimbangan ekologi,” katanya.

Peserta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kewartawanan Alam Sekitar
Peserta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kewartawanan Alam Sekitar

Pusat Konservasi Penyu turut menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi melibatkan diri dalam usaha memelihara khazanah biodiversiti negara.

Program berimpak tinggi ini diharap menjadi contoh pendekatan kewartawanan lapangan yang mampu memperkukuh kerjasama antara institusi akademik, agensi kerajaan dan komuniti ke arah misi kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here