KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyeru agar semua pihak menamatkan drama politik antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya melibatkan MCA dan DAP demi memastikan tumpuan utama kerajaan kekal kepada rakyat.
Dalam kenyataan terbukanya hari ini, beliau mengingatkan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah satu langkah berani dan rasional demi kestabilan negara, bukan kerana kuasa.
“Tiada parti yang memperoleh majoriti mutlak selepas PRU15. Tanpa gabungan, politik negara akan terus bergolak. BN memilih untuk bekerjasama demi kestabilan, bukan untuk berebut kuasa,” kata Nurulhidayah.
Beliau turut menjelaskan, walaupun sejarah perbezaan antara MCA dan DAP tidak dapat dinafikan, cabaran sebenar yang perlu diberi keutamaan kini ialah isu ekonomi, pendidikan dan perpaduan kaum.
“Berpolitik cara lama yang hanya mencari salah dan gaduh tak membawa faedah kepada rakyat. Politik baharu menuntut kematangan dan keberanian untuk ketepikan perbezaan demi kepentingan bersama,” katanya.
Beliau juga menyifatkan perbezaan pandangan dalam gabungan besar seperti BN-PH sebagai sesuatu yang normal dan sihat dalam sistem demokrasi.
“Perbezaan bukan bermakna perpecahan. Yang penting, dasar kerajaan terus berjalan dan rakyat tidak menjadi mangsa.
“Sudah tiba masanya pemimpin politik menunjukkan kematangan dan memberi contoh yang baik kepada rakyat, terutama dalam situasi politik pasca pandemik yang tidak menentu.
“Ini bukan hipokrasi, ini keberanian dan jiwa besar. BN dan PH pernah berlawan, tetapi kini sanggup duduk semeja untuk membina semula negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf secara terbuka sekiranya kenyataannya menyinggung mana-mana pihak, sambil mengingatkan terdapat pihak yang sentiasa menunggu peluang untuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan menjelang PRU-16.
“Sebagai pelapis kepimpinan BN, saya berharap agar drama ini ditamatkan segera. Ramai yang suka melihat kita berpecah. Kita perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Kenyataan ini dipercayai ada kaitan dengan kritikan keras Ahli Parlimen Kampar (DAP), Chong Zhemin yang mendesak MCA untuk keluar kerajaan andainya tidak bersetuju dengan projek MyKiosk.
Malah beliau telah meminta Exco MCA Johor, Ling Tian Soon serta Lee Ting Han meletak jawatan. – MalaysiaGazette