Neow Choo Seong.

KUALA LUMPUR – Dakwaan banyak unit MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT Malaysia) kosong, tidak digunakan, tiada penyewa dan usang itu adalah benar.

Malah, dakwaan ada harga kiosk yang jauh lebih murah berbanding RM25,000 bagi satu unit MyKiosk juga benar.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, persoalan ini dibangkitkan oleh rakyat dan kenapa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming marah.

“Persoalan serius, kenapa Menteri DAP, Nga Kor Ming dilihat menganggap ia berita palsu sehingga mengarahkan pegawai bawahannya ‘mencari’ TikTokers dan mereka yang bersuara berhubung skandal MyKiosk ini?

“Adakah ini satu ugutan? Paksa rakyat berdiam diri?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Choo Seong menegaskan, MCA ini bukanlah jenis penghasut dan penfitnah seperti segelintir pemimpin politik yang ekstremis serta cauvinis, sebaliknya bertindak menggunakan akal, buat kajian dan penyelidikan serta turun padang mendampingi rakyat.

Jelasnya, MCA mempunyai maklumat sahih apabila orang ramai sendiri menyalurkan informasi kepada parti itu.

Malah, kata beliau, MCA juga turun padang dan bertemu dengan rakyat khususnya peniaga serta meneliti banyak aduan.

“Salahkah MCA mendengar rintihan rakyat dan cuba menyelesaikannya? Salahkah MCA membangkitkan dan mengangkat suara rakyat?

“Kami hanya tanya kenapa banyak kiosk kosong supaya kerajaan dapat lakukan sesuatu bagi memastikan projek ini tidak menjadi projek gajah putih dan bazir duit rakyat,” ujarnya.

Malah, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar sendiri yang memberikan tempoh sebulan kepada Pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menempatkan peniaga di gerai MyKiosk yang masih kosong.

Daripada 414 MyKiosk disediakan di seluruh Negeri Sembilan pada 2023 dan 2024, hanya 250 diisi.

“Adakah Kor Ming menganggap kenyataan J Arul Kumar yang juga Setiausaha Organisasi DAP Negeri Sembilan ini berita palsu?,” tanya Choo Seng lagi.

MCA bukannya menolak inisiatif MyKiosk kerana ia dapat bantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tetapi tatakelolanya kenalah betul.

Menurut beliau, MCA persoalkan kos MyKiosk kerana ia adalah duit rakyat pembayar cukai.

“Kenapa bayar mahal sedangkan ada harga murah?

“Sepertimana dokumen tender direkodkan pada 28 Ogos 2023 yang didedahkan sendiri oleh DAP, boleh lihat purata kos pembinaan setiap unit MyKiosk ialah RM20,895.55, iaitu jauh lebih tinggi daripada harga siling RM15,000 yang ditetapkan KPKT bagi fasa pertama.

“Timbul persoalan, ke mana pergi duit rakyat RM5,895.55? Itu bagi 1 kiosk, bagaimana kalau 10 kiosk? 100? 1000? Tidakkah ia mencecah jutaan ringgit duit rakyat?,” katanya.

Oleh itu, beliau meminta Kor Ming menyemak sendiri ada pihak yang boleh membuat kiosk sama tetapi dengan harga jauh lebih murah, serendah RM12,800 seunit, jadi kenapa hendak beli harga mahal.

Beliau turut menempelak DAP yang sebelum ini bukan main lagi melaungkan “lawan rasuah! Hapuskan kroni! Hentikan salahguna kuasa! tapi selepas berkuasa, timbul isu MyKiosk yang sangat meragukan.

Bahkan, Choo Seong turut mengingatkan kenyataan angkuh Kor Ming yang mahu menjemput Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki ke pejabatnya memberi persepsi salah terhadap suruhanjaya itu sebagai badan bebas.

Sebaliknya, Kor Ming digesa datang sendiri ke pejabat SPRM untuk membuat laporan, sama seperti apa yang dilakukan oleh Pemuda dan Beliawanis MCA hari ini.

“Kor Ming, jangan jadi seperti Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang tidak melaporkan bekas pegawainya kepada SPRM selepas mendapati wujud dakwaan penyelewengan dana awam. Kor Ming dan seluruh kepimpinan DAP diminta jangan diam-diam,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast