KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mempertimbangkan semula had umur persaraan wajib kepada 65 tahun tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia, memandangkan implikasi sosioekonomi yang boleh memberi kesan negatif kepada prospek pekerjaan dan pembangunan belia negara.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, peningkatan had umur persaraan secara langsung mengurangkan kadar penggantian pekerja dalam pasaran buruh, sekali gus mengecilkan peluang pekerjaan untuk golongan belia.
Sebagai contoh, peningkatan umur persaraan dari 55 ke 60 tahun pada tahun 2013 dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda.
Dalam konteks semasa, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun, dan ramai daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap.

Menurutnya, majikan di sektor swasta diwajibkan mencarum 12% hingga 13% ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi setiap pekerja dan jika umur persaraan dilanjutkan, beban caruman dan tanggungan kos gaji pekerja yang lebih senior dan mahal akan berlanjutan lebih lama.
“Ini boleh menjejaskan kemampuan syarikat untuk menggaji tenaga kerja baharu dan lebih produktif dari kalangan belia,” katanya hari ini.
Lantaran itu, MBM berpandangan caangan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said adalah terlalu umum dan cenderung kepada pengalaman penjawat tinggi dalam sektor profesional.
Hakikatnya, tidak semua pekerja kini berada dalam keadaan fizikal yang membolehkan mereka terus bekerja secara efektif.
Jelasnya, laporan World Health Organization (2021), satu daripada tiga individu berumur lebih 60 tahun menghadapi kekangan dari segi keupayaan fizikal, selain risiko penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung yang semakin meningkat.
Berikutan itu, cadangan ini juga dilihat sebagai kurang sensitif terhadap realiti jurang antara generasi dalam pasaran kerja.
“MBM percaya bahawa peralihan tenaga kerja antara generasi perlu diurus secara seimbang dan inklusif. Ini bukan isu memilih antara yang muda atau yang tua, sebaliknya adalah soal memastikan wujudnya dasar yang adil untuk menjamin keterjaminan ekonomi semua pihak terutama generasi muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.
“Meningkatkan umur persaraan bukan sekadar soal kemampuan bekerja, tetapi juga soal keadilan ekonomi dan hak generasi muda untuk memperoleh peluang yang saksama,” katanya. – MalaysiaGazette

















Sebenarnya tak boleh pukul rata sektor pekerjaan. Yg rugi kelak ialah rakyat sendiri khususnya gol B40. Cthnya pekerjaan sbg Dr Pakar dan Pakar Perunding Kanan di Hospital kerajaan. Utk jawatan ini, seseorang itu ambil masa yg lama..kena sambung belajar & kumpul pengalaman. Bila umur dah 50 lebih baru dilantik ke jawatan ini…berkhidmat hanya beberapa tahun ja…then pencen wajib & pergi ke swasta…yg rugi ialah hospital kerajaan. Cth lain ialah Profesor di Universiti. Dapat PhD pun umur dah lebih 30 tahun baru mula kerja..bertahun nak jd Profesor..sampai umur 50 tahun lebih baru jd Profesor. Kerja 2-3 tahun, pencen wajib. Yg rugi ialah pelajar sebab para Profesor hebat ni dah pencen..tak de peluang nak timba ilmu daripada mrk…lepas habis 1st degree bukan blh jd Profesor pun…