MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjayakan “Pemulihan Alam Sekitar: Jom Jaga Pantai Kita” dan melibatkan aktiviti pemulihan pantai serta pendidikan berasaskan alam sekitar bersama murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, baru-baru ini.
Program tanggungjawab sosial korporat di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka, baru-baru ini.
Pensyarah Kanan Pusat Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) UTeM, merangkap Pengarah Program, Dr Erwan Ismail berkata, program ini merupakan inisiatif berangkai daripada kumpulan pelajar kursus BKKM 1561 Budi Penyayang dari PPB, UTeM dengan sokongan penuh daripada Dekan PPB, Nurlisa Loke Abdullah.
Jelasnya, program ini memperkasakan murid berkeperluan khas melalui pembelajaran luar bilik darjah di samping menyemai nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UTeM.
“Program sebegini membuka ruang interaksi bermakna antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah, selain memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan golongan berkeperluan khas.
“Pada masa yang sama, aktiviti yang dijalankan turut menyemai empati dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa terhadap komuniti yang pelbagai latar belakang dan keperluan.
Program ini disertai 57 orang murid PPKI, 15 guru pengiring, 9 pelajar UTeM dan 7 orang staf PPB UTeM.
Penyelaras PPKI SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, Zuraidah Rosly dan Penyelaras Program PPKI, Siti Maryam Zainuddin menyambut baik usaha kerjasama ini yang dianggap sangat bermakna buat murid-murid berkeperluan khas.
Menurut mereka, program seperti ini membuka ruang kepada murid untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti luar yang menyeronokkan serta membina keyakinan diri, kemahiran sosial dan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar.
Malah, pendedahan sebegini memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah murid PPKI agar mereka lebih bersedia berhadapan dengan dunia luar.
Secara umumnya, menerusi program ini menzahirkan UTeM terus komited dalam kepelbagaian jaringan kerjasama bersama institusi pendidikan di samping
memperkasa komuniti melalui program yang berimpak langsung.
Ia turut memenuhi Pelan Strategik UTeM (ST3) iaitu Menjuarai Khidmat Insani, mengundang Kesejahteraan dan selari dengan salah satu Fokus Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 iaitu Pemindahan dan Perkongsian Ilmu.
Pada masa yang sama seiringan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4: Pendidikan Berkualiti, program ini menyediakan platform pembelajaran kontekstual yang berasaskan alam sekitar kepada murid PPKI, selain menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat melalui pendekatan komuniti yang inklusif. – MalaysiaGazette