Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hadir bagi bicara kes empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 MAC 2025 (GAMBAR FAIL)

SEPANG – Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tidak pasti sama ada boleh menerima anak lelakinya berpakaian wanita, menggunakan  aksesori dan bersolek tebal dalam video muzik raya.

Bagaimanapun, usahawan terkenal itu berkata, beliau pernah menghasilkan video hari raya bersama ahli keluarga termasuk anak-anak lelakinya.

Usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman hadir bagi perbicaraan kes memuat naik kandungan video sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 MAC 2025 (GAMBAR FAIL)

 

Dalam keterangannya Isnin lalu, Aliff Syukri berkata, video muzik ‘Kelepok Raya’ yang dihasilkannya pada pada 2022, bukan bertujuan menyokong atau mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam mana-mana laman media sosial miliknya.

Pempengaruh media sosial itu itu sebaliknya menegaskan, beliau tidak akan bertindak demikian dalam keadaan dirinya yang sudah berkahwin dan mempunyai enam cahaya mata.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin pada sesi pemeriksaan balas hari ini, Aliff Syukri berkata, meskipun dilahirkan di sini, beliau berfikiran Melayu moden.

Namun ketika Faten Hadni mengajukan soalan lanjut yang menyentuh ahli keluarganya, beliau yang merupakan saksi pembelaan pertama mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan.

“Saya tak faham, apa kena mengena (soalan ini) dengan anak saya? ujar Aliff Syukri ketika ditanya Faten Hadni pada prosiding bela diri di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Usahawan kosmetik itu sedang dibicarakan atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu @aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud turut membantah soalan berkaitan video yang mengaitkan keluarga anak guamnya.

Awang: Saya pun ingin menimbulkan benda (bantahan) sama. Jalan cerita soalan ini tidak menjurus kepada video (yang dikaitkan dengan pertuduhan).

Faten: Soalan kami menjurus kepada Orang Kena Saman (OKS) yang sudah tentu mempunyai batasan dalam keluarga.

Awang: Saya bantah kerana soalan berkaitan keluarga merupakan hal peribadi walhal video itu dihasilkan oleh pihak pengurusan anak guam saya.

Terdahulu, Aliff Syukri berkata, video muzik `Kelepok Raya’ pada 2022 itu dibuat hasil keputusan bersama di antara beliau dan pasukan pengurusan kandungan.

Selain itu, usahawan tersebut menyatakan, kos bagi pembikinan video itu dibiayai oleh syarikatnya, D’Herbs yang di bawah kawalan beliau.

Faten: Jadi, Datuk boleh buat keputusan untuk menghasilkan video atau tidak?

Aliff: Betul.

Faten: Idea dari segi tarian, pakaian, solekan, semuanya Datuk ada pilihan untuk menentukannya?

Aliff: Tak setuju.

Faten: Datuk sendiri pakai mekap tak dalam video itu, lipstik?

Aliff: Ada.

Perbicaraan bersambung 3 Julai ini. – MalaysiGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast