MELAKA – Bomba Melaka mengesan perbuatan vandalisme terhadap alat pemadam api termasuk gelung hos di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong sehingga menjejaskan bekalan air pili bomba ke tingkat enam dan mengorbankan nyawa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dalam kebakaran, Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Zaidi Ma’at berkata, kerosakan harta benda awam itu telah menyukarkan penduduk memberi bantuan awal kepada mangsa sementara menunggu ketibaan bomba.
“Hasil daripada penemuan awal melalui temu bual dengan beberapa saksi, kita tidak menolak kemungkinan ada sedikit kecuaian apabila beberapa sistem kebombaan iaitu gelong hos dan alat pemadam api tidak berada dalam keadaan baik.
“Kita juga telah membuat pemeriksaan keseluruhan dan tidak menolak kemungkinan ada elemen vandalisme kepada peralatan kebombaan itu menyebabkan penduduk tak dapat menggunakannya untuk tindakan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Organisasi Kebakaran JBPM Melaka 2025 di Bukit Katil di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang 16 Mei lalu, seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Afizul Hakim Alias, 4, ditemukan meninggal dunia dalam bilik ketiga unit rumah di tingkat enam PPR berkenaan.
Mangsa dipercayai terperangkap dalam bilik tidur ketiga ketika api marak dan melecur manakala ibu dan empat adik beradiknya yang lain sempat lari menyelamatkan diri.
Ditanya mengenai punca kebakaran yang dikatakan akibat bermain pemetik api, Mohd Zaidi Ma’at berkata, ia masih dalam siasatan dan laporan penuh dijangka diketahui bulan depan.
Artikel berkaitan: Saya tak sedar anak ada dalam bilik yang sedang terbakar” – Ibu
Luluh Hati Ibu, Anak Empat Tahun Maut Dalam Kebakaran PPR Krubong
Mengulas lanjut, beliau berkata JBPM Melaka juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan PPR Krubong untuk perkembangan lanjut berhubung isu kerosakan itu.
“Sekiranya wujud kesalahan tidak memastikan sistem pemadaman kebakaran berada dalam keadaan baik, kita boleh keluarkan notis kepada pihak pengurusan.
“Setiap notis yang dikeluarkan boleh boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara jika didapati bersalah oleh mahkamah,” tegasnya lagi.
Sementara itu Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya enggan menuding jari kepada mana-mana pihak sehingga laporan lengkap siap.
“Ini termasuklah selepas mendapat laporan forensik daripada JBPM negeri dan juga Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
“Kita juga sedia mendedahkan laporan itu kepada umum apabila tiba masanya dan berharap semua pihak dapat mengambil iktibar daripada kejadian itu,” katanya. – MalaysiaGazette
Budak maut PPR terbakar: Sistem pam rosak punca bekalan air pili bomba terjejas