KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd melancarkan Shares2U iaitu satu skim pemindahan sekuriti yang membolehkan organisasi peserta (PO) memberi ganjaran kepada pelabur runcit menerusi saham tersenarai di Bursa Malaysia yang layak sebagai sebahagian daripada kempen pemasaran mereka.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, Shares2U direka bagi meningkatkan penglibatan merentas pelbagai profil pelabur.
Selain itu, katanya, ia menggalakkan pelabur baharu merintis perjalanan pelaburan masing-masing, mendorong pelabur sedia ada untuk mengaktifkan semula akaun tidak aktif serta memberi ganjaran kepada penyertaan pelabur aktif.
“Bagi broker, ia menggalakkan pendekatan berasaskan digital dalam interaksi dengan pelanggan, membolehkan kempen yang dinamik dan berorientasikan nilai melebihi pemasaran tradisional.
“Melalui Shares2U, PO boleh memberi ganjaran kepada pelabur dengan saham terpilih apabila mereka melaksanakan tindakan tertentu seperti membuka akaun sistem depositori pusat, mendepositkan dana atau melaksanakan dagangan sekali gus meningkatkan pemerolehan dan pengekalan pelabur,” katanya.
Sebagai permulaan, tujuh PO termasuk AmInvestment Bank Bhd, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Hong Leong Investment Bank, Kenanga Investment Bank Bhd, Malacca Securities Sdn Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan Moomoo Securities Malaysia Sdn Bhd akan memanfaatkan Shares2U dalam kempen pemasaran masing-masing pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata pelancaran Shares2U sejajar dengan matlamat bursa untuk meningkatkan keterangkuman dan penyertaan pelabur runcit yang merupakan pemacu utama kepada kerancakan pasaran modal.
“Pelabur masa kini terutamanya generasi muda yang celik digital mengharapkan lebih daripada sekadar akses. Mereka mahukan nilai, penyesuaian dan pengalaman yang menarik.
“Shares2U memperkasakan organisasi yang mengambil bahagian untuk memenuhi jangkaan ini sambil menggalakkan penyertaan runcit yang lebih meluas,” katanya.
Bursa Malaysia turut berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan langkah perlindungan yang sewajarnya bagi melindungi pelabur.
Ia memaklumkan perundingan industri yang menyeluruh dijalankan dengan PO bagi memastikan rangka kerja ini dapat dilaksanakan secara operasi selain seiring dengan keperluan pasaran. -BERNAMA
















