WAKIL KPKT hari ini menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk secara sukarela kepada SPRM. - Foto: FB KPKT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda komitmen dalam memastikan ketelusan dan integriti projek tersebut.

Dokumen itu diserahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenal secara sukarela meskipun belum menerima mana-mana permintaan daripada pihak SPRM.

KPT dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, langkah itu diambil berikutan aduan yang telah dibuat oleh pihak tertentu tentang dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk.

Jelasnya, ia membuktikan komitmen tinggi KPKT dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

Tambahnya, KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan yang terlibat dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan untuk memanfaatkan penjaja kecil.

“KPKT sentiasa komited untuk memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Dengan menyerahkan dokumen-dokumen ini kepada pihak SPRM, kami berharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan dan pelaksanaan program adalah telus dan mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihaknya berharap langkah tersebut dapat memberikan gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan integriti dalam segala aspek pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Ujarnya, KPKT telah menyalurkan maklumat terperinci mengenai inisiatif ini melalui saluran media sosial rasmi yang boleh diakses oleh orang awam.

“Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 PBT melalui sebut harga terbuka.

“Hasil daripada proses tender tersebut, sebanyak 795 kontraktor telah dilantik oleh PBT di seluruh negara.

“Kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000. Harga bagi setiap unit kiosk adalah munasabah dan membolehkan kontraktor bersaing secara adil melalui proses sebut harga yang telus dan terbuka di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing,” katanya.

Tambahnya, kesemua peruntukan berkaitan MyKiosk telah disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Tegasnya, di bawah Seksyen 27(1) Akta SPRM, adalah menjadi satu kesalahan jenayah bagi mana-mana pihak yang membuat pernyataan palsu atau dimaksudkan untuk mengelirukan kepada pegawai SPRM.

Perbuatan sedemikian, ujarnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

Projek MyKiosk sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas dipertikai banyak pihak yang mendakwa harganya kiosk tersebut terlalu mahal, malah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan unit projek perumahan rakyat (PPR).

Selain itu, inisiatif tersebut juga dipertikai selepas dikatakan menjadi projek gajah putih apabila kiosk berkenaan dilaporkan tersadai di beberapa daerah di seluruh negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast