KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu termasuk empat bekas pegawai bank disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM300,000 sebagai dorongan meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan dokumen palsu.
Sumber SPRM berkata, kelima-lima suspek lelaki berusia 30 hingga 50-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2022 hingga 2024 melibatkan kelulusan pinjaman pembiayaan bernilai kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.
Majistret 1, Siti Aisyah Umar Baki mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan selepas membenarkan permohonan suruhanjaya tersebut di Mahkamah Sesyen Sandakan, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara jam 2 petang hingga 7 malam semalam, selepas memberi keterangan Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a(A) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette
















