JOHOR BAHRU – Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa menjadi penggerak utama dalam memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua, selaras dengan kesinambungan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, setiap lapisan keahlian parti perlu memperkukuh keyakinan terhadap kepimpinan Anwar dan memainkan peranan aktif dalam menjayakan misi besar itu.
“Seluruh dunia melihat kepada kepimpinan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari cabaran yang diwarisi, hingga kepada kejayaan yang sedang dibina.
“Kita harus bina keyakinan dan tegas bahawa PMX mesti terus memimpin untuk masuk ke penggal kedua.
“Kita adalah penggeraknya, kita semua adalah agen-agen untuk memastikan agenda ini berlaku,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, malam tadi.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua AMK, Adam Adli dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Fuziah turut menegaskan dalam mengekalkan momentum itu, agenda Malaysia Madani perlu diterjemahkan dengan jelas dalam dasar dan tindakan.
Katanya, slogan Madani bukan sekadar retorik, tetapi mesti diterjemah dalam tingkah laku dan proses membuat keputusan.
“Amat penting untuk kita garap seluruh kekuatan dalam parti agar Madani tidak sekadar menjadi slogan, tetapi membumi dalam dasar-dasar negara,” tegas beliau.
Pemilihan kepimpinan pusat PKR kali ini turut menyaksikan perhatian tertumpu kepada pertembungan antara dua tokoh muda parti antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli yang masing-masing membawa pendekatan tersendiri dalam memperkukuh parti menjelang PRU akan datang.
Nurul Izzah, yang juga anak kepada Presiden parti dan pernah memegang jawatan Naib Presiden PKR, dikenali dengan pendekatan idealisme dan suara reformis yang konsisten.
Rafizi pula yang kini menjawat jawatan Menteri Ekonomi, tampil dengan pendekatan teknokratik dan strategik, serta pernah memainkan peranan penting dalam kejayaan kempen pilihan raya parti melalui inisiatif seperti Invoke.
Kedua-dua tokoh ini mewakili generasi kepimpinan baharu PKR yang bakal memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju parti, khususnya dalam menyokong aspirasi Anwar untuk kekal memimpin negara dalam penggal kedua.
Esok, sejumlah 32,030 perwakilan PKR akan membuang undi dalam pemilihan ini dimana satu proses yang bukan sahaja akan menentukan barisan kepimpinan baharu parti, tetapi juga mencerminkan kesatuan dan arah perjuangan parti itu menjelang cabaran politik masa hadapan. – MalaysiaGazette
















