Yahya Jaafar

JOHOR BAHRU – Tuduhan UMNO mahu merampas kerusi Parlimen Johor Bahru daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai tindakan terdesak cuba mengalih perhatian daripada kekacauan dalaman PKR yang kini semakin parah.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Yahya Jaafar berkata, tuduhan dibuat Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir itu tidak berasas dan merupakan satu fitnah.

“Amat mendukacitakan apabila Akmal Nasir mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan sindiran tidak berasas yang cuba menuding jari secara tersirat kepada UMNO kononnya ingin ‘merampas’ kerusi Parlimen Johor Bahru. Ini satu tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menolak sepenuhnya dakwaan tidak berasas ini yang dilihat taktik terdesak untuk mengalih perhatian daripada kekacauan dalaman PKR yang semakin parah. Jangan heret kami ke dalam drama perebutan kuasa dan percaturan politik dalaman PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, UMNO Bahagian Johor Bahru sentiasa menghormati keputusan pucuk pimpinan termasuk dalam urusan pembahagian kerusi dan strategi gabungan parti.

Namun katanya, itu tidak bermakna UMNO Bahagian Johor Bahru akan berdiam diri jika nama baik parti dicemari dan dijadikan bahan hasutan untuk menimbulkan kebencian.

“Kami ingin beri peringatan kepada Akmal Nasir, jika yakin dengan prestasi dan perkhidmatan kepada rakyat Johor Bahru, tidak perlulah mencipta naratif kononnya ada ancaman dari luar semata-mata untuk mengekalkan kedudukan dan kekal relevan. Politik takut bayang-bayang sendiri bukan budaya kami.

“UMNO Bahagian Johor Bahru menjunjung titah Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Johor. Titah baginda jelas, ini masa untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan masa berpolitik.

“Kami berdiri teguh mempertahankan titah baginda dan mengambil pendirian tegas untuk tidak terlibat dalam mana-mana permainan politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat, apatah lagi ketika mereka sedang bergelut dengan cabaran ekonomi,” katanya.

Walaupun begitu, beliau berkata, UMNO Bahagian Johor Bahru sentiasa terbuka untuk bekerjasama demi kestabilan dan kepentingan rakyat selagi dibina atas dasar saling menghormati dan kejujuran.

Namun katanya, jika ada pihak yang memilih untuk mengambil sikap bermusuhan, UMNO Bahagian Johor Bahru juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan segala kekuatan yang dimiliki.

“Apa yang lebih utama, kami tetap komited untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat Johor Bahru,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua PKR Cabang Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail tidak bersetuju cadangan pertukaran beberapa kerusi di negeri ini melibatkan Parlimen Johor Bahru dan Pasir Gudang antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mohamad Taufiq dilaporkan berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan berharap tiada pertukaran kerusi di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast