KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sedia membimbing pasukan itu tanpa sebarang syarat dan ganjaran.
Ia selepas pasukan Kelantan Darul Naim sah kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan susulan keputusan First Instance Body (FIB) yang menyenaraikan 13 pasukan yang menerima Lesen Kebangsaan semalam.
Menurut Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh, beliau yakin Kelantan Darul Naim mampu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan FIB untuk memastikan tempat mereka dalam saingan Liga Super musim depan.
Jelasnya, dengan kelulusan tersebut, pasukan Pantai Timur berkenaan kini boleh memulakan proses pembentukan pengurusan, kejurulatihan dan pasukan.
“Saya di tawarkan peranan tertentu. Seperti yang saya gambarkan sebelum ini,saya mahu melihat Kelantan bangkit semula.
“Justeru,saya bersetuju membantu pengurusan dan bantuan TANPA SYARAT DAN TANPA GANJARAN.
“Sekadar bersukarela demi bolasepak Kelantan dan Negara..saya akan cuba sedaya upaya saya, insyaAllah,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, FIB menyenaraikan sebanyak 14 pasukan bola sepak yang layak beraksi dalam saingan Liga Super musim depan yang turut menyaksikan kejutan apabila dua gergasi bola sepak iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC tidak layak beraksi.
Kelantan sebelum ini pernah menjadi antara pasukan bola sepak yang digeruni khususnya ketika di bawah era pengurusan Annuar, namun prestasi pasukan itu merosot disebabkan beberapa masalah antaranya kekangan kewangan.
Bagaimanapun, Annuar sejak akhir-akhir ini dilihat menunjukkan minat untuk membangunkan semula prestasi bola sepak Kelantan Darul Naim apabila beberapa kali turun padang meninjau perlawanan membabitkan pasukan terbabit termasuk ketika sesi pencarian bakat baharu. – MalaysiaGazette
















