KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Galeri Khas Teroka ditampilkan kepada pengunjung yang menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 anjuran ke-42 yang bermula hari ini sehingga 1 Jun.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata, ia merupakan elemen baru dalam memberikan penghormatan kepada keagungan karya Malaysia serta sejarah pembukuan negara.
“Program menarik ini berada tingkat lima di mana pertama kali kita adakan Galeri Khas Teroka yang memperlihatkan bagaimana sejarah perbukuan negara bermula dan menampilkan artifak buku lama yang boleh tonton dan menyelusuri.
“Galeri ini juga menampilkan koleksi karya terkenal dari penulis Malaysia, karya klasik hingga karya moden, yang mencerminkan keberagaman budaya, sejarah, dan identiti Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Aniza Kamarulzaman merasmikan Majlis Pembukaan Tirai PBAKL 2025 anjuran ke-42 di WTCKL.
Tambah Mohd Khair, PBAKL 2025 turut menampilkan sebanyak 1,172 reruai atau ruang pameran yang melibatkan pempamer tempatan dan luar negara kepada pengunjung yang hadir.
“Tahun ini kita mempunyai permintaan reruai yang sangat tinggi hingga terpaksa membina ruang pavilion khas, penambahan ‘marquee tent’ dan juga membuka semua ruang di WTCKL kepada pempamer.
“Untuk keseluruhan penglibatan penyertaan syarikat pula adalah seramai 258 pempamer melibatkan 230 dari tempatan dan 28 pempamer dari luar negara termasuk Iran, United Kingdom dan semua negra ASEAN,” jelasnya.

Memandangkan PBAKL 2024 yang lalu mendapat sambutan menggalakkan menerusi Baucer Buku Madani, Mohd Khair berkata, ia memberi impak kepada kelangsungan sambutan penganjuran PBAKL tahun ini.
“Alhamdulilah, saya fikir ia kesan langsung daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PBAKL 2024 yang ke-41 memberikan baucar buku bernilai lebih RM400 juta.
“Kejayaan program ini jelas terlihat dari sambutan hangat dengan jumlah penerima yang tinggi, memperlihatkan komitmen kerajaan memperkasa budaya membaca dikalangan generasi muda melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti,” ujarnya.
Mohd Khair menambah, pihaknya menyasarkan seramai 1.9 juta pengunjung yang akan menghadiri PBAKL 2025 berbanding tahun lalu hanya1.8 juta sahaja direkodkan sepanjang 10 hari pesta itu.
“Kita harap dengan tema ‘Buku: Membaca, Memimpin,” PBAKL 2025 diharapkan dapat terus memperkukuhkan pernan buku dalam kehidupan masyarakat.
“Kita berhasrat untuk memupuk budaya membaca yag lebih mendalam, sambil menyediakan platform bagi pembincangan intelektual, pembangunan industri perbukuan serta kolaborasi antarabangsa,”jelasnya.
PBAKL kali ini menampilkan lima pavilion khas yang membawa pelbagai segmen agar masyarakat lebih dekat dengan dunia literasi antaranya Pavilion Al-Falah (menghimpunkan 14 agensi agama).
Selain itu turut dipamerkan Pavilion Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perpaduan Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pavilion Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). – MalaysiaGazette
















