KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Bengkel Libat Urus Pelan Strategik 2026-2030 bagi memperkukuh hala tuju pengurusan hal ehwal Islam negara.
Bengkel yang berlangsung di Avillion Admiral Cove, Port Dickson pada Rabu hingga semalam dianjurkan oleh Bahagian Dasar Kemajuan Islam dan melibatkan penyertaan kepimpinan tertinggi JAKIM, termasuk pengarah serta wakil daripada semua bahagian.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, bengkel tersebut penting untuk memperhalusi perancangan strategik jabatan dalam menghadapi cabaran semasa dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Islam di Malaysia.
“Transformasi berimpak tinggi hanya boleh dicapai dengan komitmen bersama dan pembentukan minda masa depan. Ini penting untuk menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam JAKIM,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, bengkel itu juga menjadi platform untuk mengukuhkan kerjasama antara bahagian serta menyemai semangat kolektif bagi merealisasikan visi dan misi jabatan ke arah pentadbiran Islam yang lebih strategik dan inklusif.
Tambahnya, pandangan strategik daripada semua bahagian akan menjadi asas dalam membangunkan Pelan Strategik JAKIM 2026-2030 yang menyeluruh dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua pihak menjadi asas penting untuk menjayakan pelan strategik ini demi manfaat ummah,” katanya. – MalaysiaGazette
















