JOHOR BAHRU – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka memohon maaf kepada jentera dan ahli parti kerana mengakui kurang memberi perhatian terhadap pengukuhan dalaman parti sejak memegang jawatan Perdana Menteri selama hampir tiga tahun lalu.
Menurut Anwar, keutamaan beliau selama ini lebih tertumpu kepada urusan pentadbiran negara dan usaha membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang di pentas antarabangsa.
“Saya harus mohon maaf, sepanjang hampir tiga tahun menjadi Perdana Menteri, saya paling kurang mengambil berat soal keutuhan parti,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional PKR di Persada Johor malam ini.
Anwar mengakui keputusan itu mungkin tidak wajar namun ia berlaku kerana terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam membina semula negara yang sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial.
“Apakah ini suatu keputusan yang wajar? Tidak. Saya terbeban dengan tanggungjawab yang baru dan saya mahu negara ini bangkit sebagai negara yang hebat.
“Saya punyai cita-cita yang tinggi dalam beberapa tahun dalam usia yang lanjut untuk menjadikan Malaysia negara yang hebat,” katanya.
Beliau menambah, tumpuan sepenuhnya terhadap urusan negara menyebabkan beliau mengabaikan aspek pengukuhan organisasi parti yang sepatutnya turut diberi perhatian selari dengan peranan sebagai pemimpin utama gabungan politik.
Susulan itu, beliau memaklumkan komitmen baharu akan dilaksanakan bermula Jun ini di mana satu hari khusus setiap minggu akan diperuntukkan untuk membina kekuatan dan penyusunan semula parti.
“Jadi, saya mohon maaf kepada jentera parti dan mulai Jun ini saya akan bahagikan tugas dan masa untuk kerajaan tapi saya akan peruntukkan satu hari khusus untuk bina kekuatan parti,” katanya lagi.
Langkah itu, kata Anwar, adalah usaha untuk memperkukuh semula kedudukan dalaman parti pemerintah menjelang cabaran politik akan datang, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum (PRU). – MalaysiaGazette
















