Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat tapak pameran pada Program MADANI Rakyat (PMR) Johor 2025 di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini menjadi salah satu hab terbesar semikonduktor di rantau ini.

Menurut Perdana Menteri, setakat ini, terdapat tiga syarikat gergasi industri itu telah bertapak di Malaysia.

Katanya, syarikat tersebut adalah syarikat Jerman, Infineon Technologies di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan syarikat teknologi dari Amerika Syarikat, Nvidia di Kulai dan syarikat tempatan, Maistorage Technology Sdn Bhd.

“Malaysia sekarang menjadi hab semikonduktor di rantau ini. Bayangkan tiga gergasi semikonduktor telah mahu bertapak di Malaysia.

“Anak-anak muda perlu ambil peluang ini sebaik mungkin dan memanfaatkan daripada perkembangan ini menjadikan Malaysia negara hebat di rantau kita,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program MADANI Rakyat (PMR) Johor 2025 ketika di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2025 (Johor) di pusat beli-belah Toppen di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Perdana Menteri turut memberikan pujian kepada syarikat tempatan, Maistorage Technology Sdn Bhd yang menjadi gergasi dalam industri semikonduktor ini.

Katanya, hasil teknologi dan kepakaran tempatan ini setanding cip yang dihasilkan syarikat di Amerika Syarikat, China dan Taiwan.

“Tak mungkin ini berlaku jika tidak ada kesungguhan oleh anak-anak muda yang belajar kejurutetaan, kimia dan lain-lain yang bersungguh-sungguh untuk tingkatkan keupayaan kita.

“Ini baru ertinya merdeka pemikiran. Merdeka negara bila kita mampu urus kepentingan negara kita sendiri. Kita kena hapuskan elemen yg merosakkan sama ada dari segi kaum, agama atau dari pemimpin yang nak bolot kekayaan until diri mereka,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast