KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun perlu dikaji semula kerana dikhuatiri lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.
Menurut Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan, cadangan itu boleh memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan, produktiviti dan kesejahteraan hidup warga emas.
“Pertama sekali, jika pekerja yang berumur terus bekerja lebih lama, ini secara langsung akan mengurangkan peluang pekerjaan untuk golongan muda, termasuk graduan yang baru tamat pengajian.
“Ini boleh meningkatkan kadar pengangguran belia yang kini sekitar 3.5 peratus. Jika cadangan ini diteruskan, angka itu mungkin akan melonjak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap tahap produktiviti sekiranya ramai warga emas terus bekerja sehingga usia 65 tahun.
“Tidak semua individu berusia 60 tahun ke atas memiliki tenaga dan kesihatan seperti pekerja muda. Ini boleh menjejaskan produktiviti, terutama dalam bidang kerja yang memerlukan kekuatan fizikal dan daya tumpuan yang tinggi,” tambah beliau.
Selain itu, Shahir berkata, majikan juga mungkin terpaksa menanggung kos kesihatan dan insurans yang lebih tinggi untuk pekerja berumur.
Ini kerana, katanya, risiko penyakit kronik dan ketidakhadiran akibat masalah kesihatan lebih tinggi dalam kalangan pekerja berusia.
Beliau turut menyentuh mengenai hak individu untuk menikmati masa persaraan mereka.
“Ramai warga emas mengimpikan masa untuk berehat dan bersama keluarga selepas bersara. Jika umur persaraan dilanjutkan ke 65 tahun, ramai yang mungkin tidak dapat menikmati tempoh itu dengan baik kerana faktor usia,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, Shahir turut menekankan tidak semua sektor pekerjaan sesuai untuk warga emas.
“Kerja-kerja berat seperti dalam sektor pembinaan, keselamatan dan perkhidmatan awam mungkin tidak selamat untuk dilakukan oleh mereka yang berusia 65 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar meneliti semula cadangan tersebut secara menyeluruh dengan mengambil kira kesan jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negara. – MalaysiaGazette
















