Nurul Izzah Anwar

Oleh: Dr. Lau Zhe Wei

APA itu nepotism dan kronism? Inilah persoalan yang pernah saya bangkitkan semasa dalam pengajian tahun pertama, sarjana muda saya. Sehingga kini, saya masih belum dapat merungkai sepenuhnya. Secara lazimnya, saya percaya ramai yang dapat menjelaskan kedua-dua konsep ini dengan mudah. Tetapi secara praktiknya, di manakah garis pemisahan antara nepotism/kronism dengan kebolehan seseorang?

Kita cuba bangkitkan dua persoalan untuk dibincangkan. Pertamanya, sekiranya seseorang anak mempunyai kebolehan untuk menjawat sesuatu jawatan dalam sesebuah organisasi, tetapi pada masa yang sama, ahli keluarganya juga sedang menjawat jawatan tertinggi dalam organisasi tersebut. Adakah memberi jawatan kepada anak tersebut patut dilihat sebagai nepotism atau patut dilihat sebagai kebolehan peribadi anak untuk menjawat jawatan tersebut dan bukannya dari segi nepotism?

Sekiranya jawapannya yang diberikan adalah kebolehan boleh mengatasi hubungan kekeluargaan, maka timbullah persoalan kedua, apa itu “kebolehan”? Seseorang boleh menuntut anak itu sebagai berkebolehan, tetapi pada masa yang sama, seseorang yang lain turut boleh menempis dan mendakwa anak itu tidak berkebolehan? Jadi, adakah anak tersebut seseorang yang berkebolehan atau tidak berkebolehan? Percanggahan berlaku kerana definisi “kebolehan” itu adalah terlalu subjektif. Maka, adalah sukar untuk meyakinkan khalayak umum. Inilah yang berlaku kepada Nurul Izzah pada masa kini.

Pihak yang menyokongnya menguar-uarkan bahawa beliau adalah seorang yang berkebolehan. Jawatan timbalan presiden yang ditandinginya tiada kaitan dengan ayahnya. Pihak yang membantah pula akan membina naratif nepotism terhadapnya. Melainkan definisi “kebolehan” itu dapat diobjektifkan, jika tidak, adalah mudah untuk mana-mana pihak mewajarkan sesuatu perjawatan atas dasar “kebolehan” secara subjektif.

Bagaimanapun, kita kena mengakui adalah tidak salah dari segi perlembagaan, perundangan dan peraturan sama ada di peringkat parti mahupun negara untuk seseorang ayah dan anaknya memegang jawatan presiden dan timbalan presiden bagi sesebuah parti pada satu masa yang sama. Ini adalah fakta objektif dan bukannya pendapat subjektif. Namun, dari segi etika politik dan pembinaan budaya politik Malaysia, adakah wajar untuk situasi sedemikian berlaku?

Isu Nurul Izzah ini menjadi kecoh disebabkan belum pernah untuk sesebuah parti politik mengamalkan budaya sedemikian, di mana jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti dijawat oleh ahli keluarga terdekat. Massa yang tidak mempunyai hak mengundi dalam pemilihan parti PKR tidak kecoh semasa Nurul Izzah memegang jawatan naib presiden kerana wujud jurang antara Anwar Ibrahim dengan Nurul Izzah yakni jawatan timbalan presiden. Massa juga kurang membantah apabila Anwar menjadi ketua umum PKR manakala isterinya menjadi presiden PKR kerana jawatan ketua umum bukannya satu jawatan bertulis.

Sebenarnya, parti-parti yang lain turut mempunyai situasi sedemikian dalam dunia politik moden Malaysia, tetapi tidak seketara PKR. Untuk DAP, semasa Lim Guan Eng menjawat jawatan setiausaha agung (yakni pemimpin tertinggi parti), ayahnya Lim Kit Siang berundur sebagai pengerusi parti. Untuk UMNO, semasa Abdullah Badawi menjadi presiden UMNO, menantunya menjadi naib ketua pemuda pada masa yang sama. Lebih ketara lagi, semasa Mahathir menjawat jawatan pengerusi BERSATU, walaupun anaknya menjadi timbalan presiden parti, tetapi gandingan anak-beranak ini masih belum merangkul jawatan tertinggi dan kedua tertinggi dalam parti Bersatu dengan kewujudan Muhyiddin sebagai presiden parti.

Kebimbangan yang timbul adalah, sekiranya budaya pewarisan sedemikian dibenarkan berlaku, maka parti-parti yang lain mungkin akan mengikuti budaya sedemikian dengan alasan yang sangat mudah. Kalau sesebuah parti reformasi seperti PKR, yang bercita-cita sejak dari penubuhannya untuk membetulkan praktis dan budaya yang salah pun boleh berbuat demikian, mengapa parti-parti yang lain tidak boleh menurutinya?

Sebenarnya, sanubari ahli-ahli politik di Malaysia sedar akan di manakah garis panduannya. Apabila Gobind Singh dilantik menjadi menteri, adiknya Ramkarpal Singh digugurkan sebagai timbalan menteri. Walaupun Perlembagaan Malaysia tidak menghalangnya adik-beradik berada dalam keanggotaan pentadbiran pada masa yang sama, namun, etika politik menghalangnya kerana tidak molek berbuat demikian.

Kesimpulannya, adalah sah dari segi perundangan untuk anak-beranak memegang jawatan tertinggi dan kedua tertinggi dalam sesebuah parti politik pada masa yang sama. Namun, persoalan yang ditimbulkan adalah, adakah beretika untuk berbuat demikian?

Penulis merupakan Penolong Profesor, Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. anak beranak pegang jawatan dalam parti tu nepotism lah. patut bagilah syaifuddin jadi timbalan presiden. yang nak tamak tu dah kenapa.

Comments are closed.