KULAI – Seorang penunggang maut manakala pemboncengnya parah selepas motosikal dinaiki merempuh belakang kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 29 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 8 pagi apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun mengalami kerosakan enjin dan terpaksa berhenti di lorong kecemasan.
“Kemudian datang sebuah motosikal yang ditunggang lelaki tempatan bersama-sama pembonceng wanita, masing-masing berusia 31 tahun, dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pembonceng yang cedera parah pula dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru bagi rawatan lanjut.
Mayat mangsa katanya, dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















