Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) perlu memperluaskan skop keanggotaannya dengan memasukkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai salah satu agensi strategik dalam gabungan tersebut.

Ini kerana, menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berdasarkan penelitian pihaknya, terdapat sejumlah besar pertubuhan bukan kerajaan (NGO); yayasan, dan pertubuhan yang menjadi saluran kepada aktiviti penyelewengan dan pengubahan wang haram.

Ia jelas beliau, sama ada melalui sumbangan palsu dan dana tidak telus serta kewujudan akaun bank berasingan yang tidak diaudit.

Selain itu, tambahnya, aktiviti penyelewengan itu juga berlaku menerusi pemilikan aset yang tidak sepadan dengan matlamat pertubuhan dan penggunaan nama pertubuhan untuk kepentingan peribadi atau politik.

Menurut beliau, ROS sebagai badan kawal selia utama pertubuhan berdaftar mempunyai data kritikal dan kuasa siasatan awal terhadap rekod tahunan, laporan kewangan, aktiviti dan pengurusan pertubuhan.

“Ketiadaan ROS dalam struktur awal KKFP mungkin didasari pertimbangan teknikal, tetapi MCW khuatir ia juga boleh dilihat sebagai satu bentuk pengecualian disengajakan.

“Ini terutamanya jika dikaitkan dengan kepentingan politik atau potensi pendedahan skandal besar yang melibatkan entiti berkaitan tokoh berpengaruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan KKFP iaitu badan yang dianggotai oleh tujuh tujuh agensi kerajaan bertujuan mewujudkan kerjasama antara agensi atau badan awam bagi memperkukuh perkongsian maklumat, tipologi jenayah dan analisis trend semasa melibatkan penipuan perakaunan.

Tujuh agensi terbabit ialah Audit Negara (JAN); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM); Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Sementara itu, Jais turut mencadangkan ROS dilibatkan sebagai agensi pemerhati dan pelapor dalam KKFP dengan tanggungjawab menapis dan menyerahkan maklumat NGO berisiko tinggi yang menyimpan dana besar secara mencurigakan.

Selain itu, ujarnya, satu mekanisme audit bersama antara ROS; SSM dan LHDN perlu diwujudkan bagi menyemak integriti laporan kewangan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memiliki akaun melebihi RM500,000 setahun.

Dalam masa sama, beliau menggesa supaya NGO atau yayasan yang menerima dana kerajaan atau derma luar negara diwajibkan tertakluk kepada pelaporan audit yang wajib dan terbuka.

“MCW percaya bahawa usaha melawan penipuan kewangan tidak boleh bersifat selektif.

“Jika benar kita ingin “membersihkan sistem”, maka semua lubang yang menjadi tempat persembunyian penyelewengan termasuk di bawah nama pertubuhan mesti diterangi dan ditutup rapat.

“Penyertaan ROS ke dalam KKFP bukan soal pilihan, sebaliknya ia adalah keperluan nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast