MELAKA – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini kerana menyebabkan kematian bayi dalam kandungannya berusia lima bulan sebelum dilahirkan, minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Norazzeti Azima Awang Long, 21, sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil ubat misoprostol sebelum kelahiran bayi dengan niat untuk menghalangnya daripada dilahirkan dalam keadaan hidup.

Kesalahan itu di sebuah rumah bernombor, Imperio Residence Tower A dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 10 malam 12 Mei 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, wanita itu telah dibawa kakitangan Penjara Sungai Udang ke Hospital Melaka selepas tertuduh yang ditahan bagi kes dadah mengadu sakit dada sebelum pemeriksaan doktor mendapat wanita itu mengalami bengkak susu.

Suspek kemudian mengaku telah mengalami keguguran kandungan dianggarkan berusia lima hingga enam bulan dengan cara memakan ubat misoprostol yang dibeli secara atas talian pada harga RM600.

Tertuduh yang masih bujang kemudian menyerahkan bayi berkenaan yang sudah cukup sifat kepada rakannya untuk ditanam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan hukuman penjara yang setimpal mengambil kira isu-isu sosial yang berleluasa ketika ini dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman penjara dan denda minimum dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,800 sebulan sebagai pekerja sebuah kafe.

Tertuduh juga katanya, perlu menanggung bapa berusia 76 tahun yang mengidap asma dan sakit jantung serta tiga adiknya.

Tambahnya, tertuduh menggugurkan kandungan itu selepas didesak berkali-kali oleh temannya dan telah insaf atas perbuatannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh ditangkap 19 Mei 2025. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast