KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggagalkan cubaan seleweng 1,000 gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke tong komersial menggunakan lori ‘bonded’.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata pihaknya menerusi Op Gasak sekitar 11 malam tadi melakukan serbuan di kawasan industri di Puchong berjaya merampas lebih 1,000 kilogram LPG bersubsidi bernilai lebih RM100,000.
Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas premis itu pihaknya sebuah lori ‘bonded’ bersama dua lelaki warga asing berusia lingkungan 45 tahun yang sedang menjalankan aktiviti memindahkan gas.
“Kedua-dua individu terbabit didapati sedang memindahkan LPG 14kg bersubsidi ke dalam tong gas komersial 50 kilogram (kg) di dalam ruangan lori ‘bonded’.
“Turut ditemukan ialah beberapa peralatan seperti hos penyambung dan tong berisi ais yang digunakan sebagai teknik konvensional untuk memindahkan gas secara tidak sah,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas Mohd Hanizam, LPG bersubsidi itu dipercayai untuk dijual kepada industri pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran, sekali gus mengakibatkan ketirisan subsidi kerajaan.
“Kesemua barangan sitaan disimpan di bawah kawalan pengurusan stor ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan,” tambahnya.
Justeru susulan itu katanya, KPDN Selangor membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pihak yang terbabit serta rantaian pengedaran LPG berkenaan.
“Mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar undang-undang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM3 juta atau penjara tiga tahun bagi kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berulang,” katanya lagi.
Sebagai info, lori ‘bonded’ adalah kenderaan pengangkutan yang mempunyai lesen atau bon khas daripada pihak kastam yang membenarkan kenderaan itu mengangkut barangan import yang belum lagi dijelaskan duti dan cukainya dari satu tempat ke tempat lain.-MalaysiaGazette
















