KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air di daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri akibat paip air mentah bocor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor, pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.
Ujarnya, ia termasuklah meneliti setiap aspek teknikal serta penjagaan berkala semua peralatan dalam sistem pemprosesan dan jajaran paip air di loji terbabit.
“Setiap data yang dikumpulkan itu akan diteliti bagi membolehkan prosedur sedia ada dikemas kini untuk mengelakkan insiden yang sama berulang pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan.

Khairul berkata, kebocoran yang berlaku di LRA itu merupakan suatu kejadian luar jangka yang jarang berlaku.
Jelasnya, pasukannya menghadapi kesukaran sepanjang proses baik pulih dijalankan sejak Selasa lalu.
“Kami akur dengan kesulitan yang dihadapi para pelanggan akibat kejadian ini. Sejak ia berlaku, segala usaha dilakukan untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan secepat mungkin kepada semua yang terjejas.
“Segala cabaran itu ditangani dengan sebaik mungkin kerana bekalan air merupakan keperluan paling asas kepada semua,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh yang sukar itu.
Kerosakan luar jangka pada pam utama LRA yang memproses air mentah Sungai Johor pada Selasa lalu mengakibatkan agihan lebih 318 juta liter air terawat sehari bagi kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri terputus.- MalaysiaGazette
















