SEREMBAN – Kelab Prime Mover UiTM dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan menganjurkan Kempen Start Awareness From Early (SAFE) For Children di sekolah-sekolah rendah yang terpilih untuk memberikan pendedahan tentang bahayanya penderaan fizikal, mental, dan seksual serta cara untuk melindungi diri mereka.
Kesedaran ini penting dalam memastikan kesejahteraan dan perlindungan generasi muda serta hak untuk hidup dalam suasana yang selamat, mendapat pendidikan dan bebas daripada segala bentuk penderaan fizikal, mental, dan seksual.
Kempen kali ini telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban, dengan penyertaan seramai 222 murid yang berumur sekitar 7 dan 8 tahun. Seramai 18 fasilitator daripada UiTM Kampus Seremban terlibat dalam mendidik serta memberi pendedahan secara interaktif kepada murid-murid mengenai hak dan keselamatan diri kanak-kanak.
Menariknya, kempen ini dijalankan secara bersemuka yang membolehkan interaksi secara langsung dan lebih berkesan antara fasilitator dan murid. Aktiviti hands-on seperti lakonan situasi dan sesi “Berani Bersuara” memberi peluang kepada murid untuk meluahkan perasaan serta belajar mengenal pasti tanda-tanda penderaan secara kreatif dan menyeronokkan.
Salah satu keunikan kempen ini ialah sesi “Saya Berani, Saya Selamat!” yang memberi peluang kepada murid untuk melakonkan situasi sebenar yang mungkin mereka hadapi, seperti diganggu orang asing, dibuli rakan sebaya atau mengalami sentuhan tidak selamat.
Melalui lakonan ini, murid belajar untuk mengatakan “tidak”, menjauhkan diri dan memberitahu guru atau orang dewasa yang boleh dipercayai.
Pengarah Projek Kempen SAFE, Nurfazreen Mohd Khairi berkata, pendidikan keselamatan diri perlu diterapkan sejak awal kerana kanak-kanak adalah golongan paling terdedah kepada risiko penderaan.
Melalui kempen ini, murid-murid diharap dapat memahami hak mereka dan belajar cara melindungi diri dalam situasi berbahaya.
Sementara itu, Penasihat Kelab, Khairolizwan Harry menambah, menjadi tanggungjawab kami menjadi ejen perubahan dalam komuniti dengan menyebarkan ilmu yang diperoleh untuk membantu kanak-kanak dan komuniti supaya lebih peka terhadap isu keselamatan dan penderaan kanak-kanak. Pendidikan awal sebegini merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Lebih penting lagi, kempen ini menekankan perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab Bersama, bukan sahaja ibu bapa atau guru, tetapi seluruh komuniti sekolah dan masyarakat. Kehadiran fasilitator muda yang dekat dengan jiwa kanak-kanak turut membantu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan dan mudah dihayati oleh murid.
Inisiatif seperti SAFE for Children penting untuk membentuk sikap dan nilai yang menghormati hak kanak-kanak. Usaha ini juga selari dengan dasar perlindungan kanak-kanak negara yang menekankan kepentingan terbaik kanak-kanak serta perlindungan mereka daripada segala bentuk penderaan.
Secara keseluruhan, kempen dan inisiatif oleh Kelab Prime Mover UiTM memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap hak serta keselamatan kanak-kanak, sekaligus membantu mengurangkan kes penderaan dan memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat. – MalaysiaGazette
















