JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biro politik parti itu akan mengadakan mesyuarat khas pada 29 Mei ini merangka program untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya memberi jaminan PKR dan PH akan mendapat jumlah kerusi yang munasabah untuk bertanding nanti.
“Mesyuarat khas itu nanti akan rangka program PRN Sabah. Saya beri jaminan PKR dan PH akan dapat kerusi munasabah untuk bertempur nanti.
“(Perkara ini) sudah runding dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Pengerusi BN (Barisan Nasional) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin GRS untuk pastikan kerjasama boleh dilakukan.
“Ini dengan syarat satu pengiktirafan terhadap usaha PKR dan PH dan diberi peluang untuk sama-sama bekerja memperjuangkan nasib rakyat Sabah,” katanya ketika berucap dalam penggulungan di Kongres Nasional PKR, Johor Bahru hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Pada 12 Mei lalu, Ahmad Zahid berkata, PRN Sabah akan menjadi permulaan ‘perang besar’ yang bakal dihadapi BN dan PH sebagai gabungan rasmi.
Beliau berkata, kedua-dua parti tidak akan bergerak secara solo sebaliknya sebagai satu entiti gabungan yang lebih besar dan terbuka.
“Kita tidak berniat untuk bergerak secara solo. BN dan PH bukan sekadar satu ‘plus’, tetapi ‘plus plus plus’. Ini memperlihatkan keterbukaan kita, yang penting, tiada parti politik dari Semenanjung atau Sabah boleh bergerak sendirian. “Kita perlu gabungan antara parti…,” ujar Zahid.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan pertahankan siapa sahaja dalam parti yang dianggap layak selepas pemilihan PKR 2025.
Menurutnya, beliau tidak pernah lupa jasa dan sumbangan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli serta bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini tiada lagi dalam kepimpinan tertinggi parti.
Penghargaan juga katanya, kepada semua pihak dalam parti dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat atas atas sumbangan mereka terhadap parti.- MalaysiaGazette
















