KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang telah memberi mandat dan kepercayaan ini.”
Itu reaksi awal Nurul Izzah Anwar susulan kemenangannya dalam pemilihan parti, yang kini menyaksikan beliau secara rasmi memegang jawatan Timbalan Presiden.
Namun, menurut beliau, kemenangan ini bukan waktu untuk bersorak, sebaliknya merupakan detik untuk menggandakan usaha dan kembali ke medan perjuangan sebenar.
“Hakikatnya, kemenangan bukanlah waktu untuk bersenang-lenang. Ia adalah waktu untuk bekerja dengan lebih keras – untuk turun padang, mendengar suara rakyat, menyingsing lengan dan kembali ke medan tempur lawan sebenar,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa masa yang ada sangat terhad dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.
Menyelitkan petikan Surah Al-Baqarah ayat 216, Nurul Izzah menyeru semua pihak supaya menerima amanah ini dengan hati terbuka dan penuh tanggungjawab, termasuk mereka yang tidak mengundinya.
“Saya melangkah ke hadapan bukan dengan rasa megah, tetapi dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar, bahawa setiap undi adalah amanah, dan setiap amanah menuntut kerja sebenar.”
Mengulas mengenai peranannya sebagai Timbalan Presiden, beliau berkata, fokus utama adalah memperkukuh parti agar Presiden dapat menumpukan sepenuhnya kepada urusan mentadbir negara.
“Presiden parti kini memegang amanah sebagai peneraju kerajaan dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat. Maka, peranan Timbalan Presiden menjadi lebih kritikal.”
Antara langkah awal yang bakal dilaksanakan termasuk memperkenalkan sebuah program universal di setiap cabang, bertujuan memperkasakan jentera akar umbi melalui pendekatan yang lebih strategik, inklusif dan efektif.
“Program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.”
Beliau turut menekankan keperluan melengkapi jentera parti dengan ilmu, sumber dan semangat juang dalam menghadapi cabaran politik mendatang.
“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan. Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke pusat, dilengkapi dengan kekuatan yang cukup,” katanya. – MalaysiaGazette
















