Allahyarham Fauziah Rauf

KUALA LUMPUR – Wartawan hiburan veteran, Fauziah Rauf meninggal dunia pada usia 81 tahun di Hospital Selayang sekitar pukul 1 pagi tadi.

Pemergian Allahyarham Fauziah yang merupakan pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) disahkan anaknya, Nilly Wahida Omar.

“Emak terjatuh di rumah seminggu yang lalu dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kami anak-anak berada di sisi semasa emak menghembuskan nafas terakhir,” katanya seperti dilaporkan.

Allahyarham Fauziah yang cukup dikenali dalam kalangan penggiat industri kreatif dan selebriti, dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala.

Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, arwah merupakan seorang wartawan wanita disegani dalam dunia kewartawanan serta industri seni dan hiburan tanah air.

Tambah beliau, sumbangan besar Allahyarham Fauziah dalam dunia kewartawanan turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) 2017, anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan WHAM.

“WHAM mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Fauziah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham Fauziah kini berada di kediamannya di Selayang dan akan dibawa ke Masjid Selayang Baru untuk urusan mandi, kafan dan solat jenazah serta dijangka dikebumikan selepas solat Zohor.

Allahyarham Fauziah meninggalkan empat orang anak dan 13 cucu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast