Foto FB KDN FC.

KUALA LUMPUR – Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus dilanda kontroversi apabila seorang lagi pemainnya, Nasrol Amri tampil mendakwa penipuan yang dilakukan pengurusan kelab itu berhubung isu tunggakan gaji dan caruman pemain demi mendapatkan lesen kebangsaan daripada First Instance Body (FIB) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sebelum ini, bekas pemain KDN FC, Jasmir Mehat turut mendedahkan bahawa pemain-pemain masih berdepan isu tunggakan gaji, tiada caruman dibuat dan kegagalan pihak kelab menyediakan perlindungan insurans.

Malah seorang lagi pemain kelab itu, Fazrul Amir turut berkongsi pendedahan Jasmir itu.

Dalam satu pendedahan berani menerusi akaun Instagram miliknya, Nasrol secara terbuka menafikan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KDN FC baru-baru ini yang mendakwa semua tunggakan gaji dan caruman pemain telah diselesaikan sepenuhnya.

“Pengurusan KDN FC berbohong berkenaan isu tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta bayaran insurans setiap pemain untuk saingan Liga Malaysia 2024/25.

“Kami mengesahkan bahawa tunggakan gaji pemain lebih dari tiga bulan, tidak seperti didakwa oleh Presiden kelab. Kami minta media untuk cerita perkara sebenar sikap munafik Presiden KDN FC kerana menipu semua pihak berkenaan isu ini,” katanya.

Menurutnya, tunggakan gaji pemain sebenarnya sudah melebihi tiga bulan, bukan seperti yang didakwa oleh pihak kelab.

“Untuk pengetahuan, pihak kelab berhutang dengan setiap pemain sebanyak RM500 atau RM1000 seorang pada Ogos 2024.

“Pada Oktober 2024 dan November 2024, KDN FC hanya membayar pemain dengan separuh gaji sahaja. Bagi bulan Februari 2025, Mac 2025 dan April 2025, tiada bayaran langsung dibuat oleh KDN FC kepada pemain,” jelasnya.

Lebih mengejutkan, bek kanan berusia 25 tahun itu turut mendedahkan bahawa caruman KWSP dan Perkeso tidak pernah dibuat sepanjang musim, walaupun potongan gaji telah dilakukan untuk tujuan tersebut.

Malah, tiada perlindungan insurans disediakan, menyebabkan pemain yang cedera terpaksa membayar kos perubatan sendiri.

“Pihak pengurusan KDN FC juga tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso selama satu musim sedangkan gaji telah dipotong untuk dua caruman tersebut.

“Lebih malang, pemain bermain tanpa perlindungan insurans pada setiap perlawanan sehingga menyebabkan pemain yang cedera perlu mengeluarkan wang sendiri untuk bayaran bil. Apabila pemain membuat tuntutan bayaran kepada pihak kelab, tiada sebarang respons diberikan,” katanya.

Dalam pendedahan tersebut, Nasrol turut mengatakan KDN FC seakan-akan memanipulasi fakta demi mendapatkan lesen kelab.

“Sekali lagi, kami menafikan kenyataan media Presiden KDN FC yang nyata telah berbohong kepada semua pihak berkenaan isu ini.

“Kami yakin Presiden KDN FC mengetahui situasi sebenar tetapi demi mendapatkan perlesenan kelab dari FIB dan MFL, Presiden rela mengenepikan etika dan intergriti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast