Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Dua beradik dijatuhi hukuman penjara 45 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merompak menggunakan pisau dan pemutar skru, dua tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Azmi Osman, 28, dan abangnya Mohd. Yusni Osman, 42, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua tertuduh dalam niat bersama didapati melakukan rompak berkumpulan menggunakan pisau dan pemutar skru serta mengambil wang tunai berjumlah RM900, kad bank, kad pengenalan dan lesen memandu seorang lelaki warganegara India.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan belakang sebuah kilang di Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, di sini, pukul 1.34 tengah hari 21 Januari 2023.

Sabit kesalahan, kedua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan hukuman penjara dan sebatan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Chia Cheng Wee yang mewakili kedua tertuduh bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf sepanjang ditahan di penjara sejak Januari 2023.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 45 bulan bermula dari tarikh ditangkap pada Januari 2023 dan satu sebatan kepada setiap tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast