Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa bercakap pada media selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis bersama Media Tahun 2025 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Tiada penglibatan politik yang menjurus dalam siasatan membabitkan kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh pada 9 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia berdasarkan kepada siasatan yang telah diambil berhubung kes itu.

“Sehingga kini, kita tidak nampak siasatan ini menjurus kepada   penglibatan politik kerana keterangan yang diambil juga tiada unsur kepada itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin bersam Media Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan PDRM, Bukit Aman hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman,  Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Hadir sama pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali; pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK); Datuk Muhammed Hasbullah Ali dan Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Tambah Rusdi, setakat ini, sebanyak 47 keterangan telah diambil oleh pihak polis termasuk empat individu di Singapura melibatkan anak kepada Pamela.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, polis masih aktif menjalankan siasatan meskipun kes kehilangan wanita itu sudah berlaku sebulan  lalu.

Mengulas mengenai rakaman keterangan yang turut melibatkan teman lelaki kepada Pamela, Rusdi memaklumkan perkara itu tidak dapat disahkan buat masa ini.

Sementara itu, berhubung permohonan reman polis terhadap suami Pamela ditolak, Rusdi berkata, mahkamah mengesahkan tiada keperluan.

“Kalau kita pergi ke mahkamah buat permohonan reman ada alasan kita, jadi alasan itu boleh diribat (pertikai) oleh peguam yang hadir dan selepas itu mahkamah pertimbangkanlah.

“Kalau secara ringkas mahkamah kata tiada keperluan dan saksi atau dia ini boleh dipanggil pada bila-bila masa dan mereka memberi jaminan untuk bekerjasama,” jelasnya.

Terdahulu Pamela dilaporkan telah dilarikan selepas gagal hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 9 April lalu.

Pamela sebelum itu dijadualkan hadir ke pejabat SPRM pada tarikh berkenaan bagi memberi keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Pamela, 42, merupakan isteri kepada seorang ahli perniagaan dari Sarawak, beliau dan suaminya difahamkan sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes pengubahan wang haram.

Rusdi dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan penculikan atau melarikan orang dengan niat untuk mengurung secara salah.

Tambah beliau, beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa serta pemandu e-hailing telah dirakam keterangan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast