Noorman Kamsani (kanan) menyerahkan surat lantikan sebagai wakil MFW di kawasan Guizhou dan Ning Xia, China, baru-baru ini

JOHOR BAHRU – Halal Development Corporation Berhad (HDC) menjalin kerjasama strategik dengan Muslim Friendly Watch (MFW) untuk memajukan agenda diplomasi halal Malaysia.

HDC dalam satu kenyataan memberitahu, tumpuan utama adalah untuk mengukuhkan pasaran halal yang berkembang pesat antara Malaysia dan China.

Menurut HDC, China muncul sebagai pasaran penting dalam industri halal global didorong populasi rakyatnya yang beragama Islam melebihi 20 juta dengan permintaan semakin meningkat untuk produk disahkan halal dalam kalangan pengguna Islam dan bukan Islam.

“Pada 2024, China disenaraikan antara dua destinasi teratas untuk eksport halal Malaysia dengan perdagangan bernilai RM7.04 bilion.

“Ini melibatkan produk makanan dan minuman, derivatif minyak sawit, bahan kimia industri, kosmetik dan farmaseutikal.

“Pasaran halal China semakin berkembang disebabkan inisiatif Belt and Road selain zon industri halal yang teguh di wilayah seperti Ningxia dan Xinjiang serta peningkatan aktiviti e-dagang rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Melalui perkongsian itu, HDC dan MFW akan memudahkan untuk syarikat China mendapat sijil halal sejajar dengan piawaian halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dengan memanfaatkan garis panduan mesra Muslim MFW dan kepakaran teknikal dan kawal selia HDC, kerjasama itu akan membantu syarikat China memahmi dan memberi komitmen mereka terhadap status halal yang sebenar.

Jelas HDC, ini termasuk menyelaraskan proses pensijilan dan meningkatkan kesediaan mereka untuk pensijilan halal penuh, sah dan diakui.

“Ini penting kerana China mempergiatkan usaha untuk menyatukan sistem pensijilan halalnya dan meningkatkan kredibiliti eksport dalam pasaran muslim global.

“Perkongsian ini juga akan menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia yang ingin memasuki pasaran halal China yang menguntungkan.

“Inisiatif ini termasuk akses kepada ekosistem pasaran digital, pembiayaan perniagaan dan padanan serta membolehkan lebih banyak produk halal Malaysia mendapat pelanggan China melalui platform e-dagang utama,” ujar HDC.

HDC dan MFW akan terus bekerjasama dengan penglibatan pihak berkepentingan selain program kesedaran dan pelaksanaan sistem pilihan muslim untuk memastikan ketelusan serta kepercayaan dalam amalan halal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, perkongsian strategik itu menunjukkan komitmen berterusan pihaknya untuk mengembangkan Malaysia dalam pasaran halal global dan memajukan agenda diplomasi halal mereka.

“Bersama-sama dengan MFW, kami menyasar untuk mengukuhkan hubungan perniagaan Halal Malaysia-China dan memanfaatkan platform digital untuk meluaskan akses pasaran.

“Kerjasama ini menetapkan penanda aras baharu untuk ketelusan, kualiti dan kepercayaan antarabangsa terhadap pensijilan Halal Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden MFW, Noorman Kamsani berkata, kerjasama itu menandakan pencapaian penting dalam meningkatkan kredibiliti tawaran mesra muslim.

“Ia membolehkan perniagaan beralih dengan lebih yakin ke arah pensijilan halal, disokong rangka kerja yang menandakan jangkaan pengguna dan piawaian industri,” ujarnya.

Berkuat kuasa serta-merta katanya, perkongsian itu menekankan visi bersama untuk membina ekosistem halal yang kukuh, telus dan inklusif.

“Ia juga menonjolkan usaha berterusan Malaysia dalam diplomasi halal antarabangsa khususnya dalam memperkukuh perdagangan dan kerjasama dalam pasaran utama seperti China,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast