Dzulkhairi (tengah) menunjukkan bekas isian semula cecair campuran dadah yang digunakan dalam vape dan turut melibatkan pengunaan dalam kalangan pelajar sekolah.

MELAKA – Polis Melaka mencadangkan kerajaan negeri supaya mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape susulan penyalahgunaan dadah sintetik baharu dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin meningkat.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kajian kertas kerja cadangan itu yang akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, selain kesan vape terhadap masalah sosial dalam kalangan pelajar, kajian turut meliputi pelbagai aspek termasuk impak kepada ekonomi peniaga dan sebagainya.

“Semua aspek itu kita akan kaji berdasarkan keutamaan kita kerana sekarang ini memang ada peningkatan (pengunaan cecair campuran dadah dalam vape) dalam kalangan pelajar sekolah.

“Yang terbongkang tepi jalan, dah habis balik sekolah, hisap vape, terbaring bawah pokok dan sebagainya,” katanya.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, cadangan itu juga bertepatan dengan saranan dibuat Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bulan lalu.

“Kita tahu, implikasi vape bukan sekadar kepada orang dewasa sahaja malah dalam kalangan budak dan pelajar sekolah pun dah mula menghisap vape.

“Kesan sampingannya akan menyebabkan masalah sosial bermula dari pelajar sekolah hinggalah ke orang dewasa malah ada negeri-negeri lain juga telah dan akan mengharamkan penjualan vape ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast