KUALA LUMPUR – PKR Sabah menjelaskan bahawa cadangan untuk bertanding di 13 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bukan keputusan sepihak oleh kepimpinan pusat.
Ahli Majlis Pimpinan AMK, Mohd Guntur Sangkar berkata, cadangan itu bukan keputusan unilateral oleh kepimpinan parti di peringkat nasional.
“Senarai tersebut adalah hasil perbincangan berterusan antara PKR Sabah dengan rakan-rakan gabungan kami di Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ia dibentuk berdasarkan semangat kerjasama politik yang matang, tanpa mengetepikan peranan parti-parti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Guntur berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Penerangan STAR Sabah, Anuar Ghani yang berkata parti itu memandang serius kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menyatakan hasrat untuk PKR bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi dalam PRN, kali ini.
Tindakan itu jelas Anuar menunjukkan PKR Pusat masih melihat Sabah sebagai jajahan politik, bukan sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
Mengulas lanjut, Mohd Guntur berkata, PKR Sabah bukan sekadar ‘cawangan’ yang menurut arahan pusat secara membuta tuli.
Sebaliknya, ia telah lama dibina melalui kerjasama erat antara aktivis tempatan dan kepimpinan nasional, menjadikannya sebuah parti nasional yang benar-benar berakar di Sabah.
“PKR adalah satu-satunya parti nasional yang secara rasmi meletakkan MA63 dalam perlembagaan parti.
“STAR pernah bekerjasama dengan Perikatan Nasional, satu gabungan yang secara terbuka melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan MA63 dan gagal menunaikan banyak janji pembangunan.
“Apa yang Sabah perlukan adalah kestabilan dan prinsip, bukan oportunisme,” ujarnya.
Pada Sabtu lalu, Nurul Izzah berkata, PKR menuntut sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah.
Tambahnya, beliau akan mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbincang dengan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan bagi berdepan PRN Sabah tidak lama lagi. – MalaysiaGazette
















