GEORGE TOWN – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita yang merupakan pegawai khas kepada Exco negeri ini, pada Mac lalu.
Kedua-dua tertuduh, Sarjan Shahrizal Ali, 46, dan Koperal Fadzli Jamaludin, 34, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakukan kepada Mandy Leow Zhia Hooi,31, berhubung risiko ditangkap polis mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sehingga mendorong wanita tersebut menyerahkan RM1,000 kepada tertuduh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu tepi Jalan Anson, di hadapan Penang Buddist Association, jam 2.25 pagi pada 14 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad menawarkan wang jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dan memohon agar mahkamah memerintahkan tertuduh tidak menganggu pengadu.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, K.Mahendran memohon jaminan minimum atas alasan Shahrizal memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan manakala Fadzli RM2,000 selain mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mereka dilarang mengganggu pengadu sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan pada 24 Jun depan untuk sebutan semula. – MalaysiaGazette
















