SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berhubung kes tular murid yang didakwa dikepung dan dimarahi sekumpulan guru di khalayak ramai.
Katanya, pihaknya tidak mahu membuat kesimpulan awal dan menuding jari kepada hanya satu pihak sebelum mengetahui punca sebenar kejadian.
“Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan melihat perkara ini, kita tunggu laporan perkara-perkara tersebut.
“Kita nak tengok tahap kemarahan dan puncanya.
“Kita tidak boleh terus menghukum guru-guru, mereka ini kadang kala tertekan dengan persekitaran dan juga cabaran, jadi kita kena saling faham antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Baru-baru ini dilaporkan, seorang murid perempuan Tahun Tiga trauma ke sekolah selepas didakwa diherdik guru di hadapan khalayak ramai.
Kejadian itu didedahkan oleh ibu kanak-kanak terbabit menerusi satu klip berdurasi dua minit yang dimuat naik di laman Instagram.
Turut dikongsikan, tangkap layar perbualan ibu murid tersebut menunjukkan hasratnya untuk bertemu dengan guru berkenaan bagi berbincang secara baik.
Namun, guru di sebuah sekolah di Selangor dilihat tidak mengendahkan perkara tersebut, sebaliknya menghantar video dirinya bersama beberapa guru lain yang mengherdik serta memaksa kanak-kanak itu untuk berkata jujur.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut.
Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan untuk memantau perkara itu. – MalaysiaGazette
















