Sukarelawan UM dan penghuni pusat IQ70 bergambar pada penghujung program.

KUALA LUMPUR –  Pada 23 April lalu, sekumpulan pelajar prasiswazah dari Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi, Universiti Malaya, di bawah bimbingan fasilitator mereka, Dr. Jessica Francis, pensyarah dalam Pergigian Penjagaan Khas di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya, telah menjalankan satu program khidmat masyarakat bertajuk 3D (Dental, Diabetes & Disability) di IQ70+, sebuah pusat yang menyokong individu berkeperluan khas intelek di Kuala Lumpur.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan oral dan umum serta menyediakan saringan pergigian asas kepada para penghuni pusat tersebut.

Sebagai sebahagian daripada program ini, para pelajar pergigian telah menjalankan saringan kesihatan oral  bagi menilai keadaan kesihatan gigi setiap peserta.

Saringan ini membantu mengenal pasti masalah kesihatan oral dan menjadi peluang untuk memberi tunjuk ajar asas mengenai penjagaan kebersihan mulut.

Bagi melengkapkan sesi saringan, mereka turut mengadakan sesi pendidikan kesihatan oral.

Sesi ini menggunakan bahan bantu mengajar interaktif seperti alat visual dan demonstrasi bagi mengajar teknik memberus gigi yang betul serta kepentingan pemakanan sihat.

Matlamatnya untuk memastikan para penghuni dapat memahami dan mengamalkan tabiat penjagaan kesihatan mulut yang baik secara menyeronokkan dan
mudah difahami.

Selain itu, pelajar farmasi turut menjalankan saringan glukosa darah rawak kepada para penghuni.

Ujian pantas dan tidak invasif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang diabetes dan kesihatan umum, serta mengenal pasti individu yang mungkin memerlukan perhatian perubatan lanjut.

Bagi mewujudkan suasana yang menyeronokkan dan menyokong, pasukan pelajar telah menganjurkan aktiviti dan permainan bertemakan kesihatan yang direka khas untuk individuberkeperluan khas intelek.

Permainan ini bukan sahaja menguatkan mesej kesihatan, malah menggalakkan penyertaan aktif dan interaksi sosial yang positif.

Program outreach kolaboratif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penghuni IQ70+, malah memberikan pengalaman praktikal yang amat berharga kepada para pelajar dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang inklusif untuk komuniti yang sering terpinggir dalam akses kesihatan konvensional.

Ia membuktikan kepentingan kerjasama rentas disiplin dalam mempromosikan kesihatan, serta menonjolkan semangat belas ihsan, dedikasi dan profesionalisme dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast