JOJOR BAHRU – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi perlu menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan kenyataannya yang lebih sudu daripada kuah dan dengan dakyah songang.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Faezuddin Puad berkata, apa yang berlaku terutama dalam pemilihan PKR 2025 minggu lalu adalah urusan dalaman parti itu.
“Hormatilah Keadilan sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Peliharalah kestabilan Kerajaan Perpaduan. Apa yang berlaku dalam Keadilan adalah urusan keluarga Keadilan, biar anggota keluarga Keadilan yang hadap dan selesaikan.
“Sama ada pemilihan kali ini atau pemilihan sebelum-sebelum ini, tiada agenda ‘siapa kerat siapa’. Pemilihan dilaksanakan bukan kerana hendak kerat orang tertentu seperti yang didakwa Puad Zarkashi tetapi bagi memenuhi tanggungjawab parti terhadap Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini Puad dilaporkan berkata, tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kerat 2.0 dalam PKR.
Puad mendakwa, reputasi pemilihan PKR ‘dikoyak’ oleh Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, Puad sebagai orang lama dalam politik sudah tentu tahu adat dalam pemilihan sesebuah parti politik yang tentu ada pihak kalah atau menang.
“Kita akui ada berlaku pertembungan kefahaman atau ideologi perjuangan, namun pengalaman pemilihan sebelum ini membuktikan semuanya bersifat sementara dan akan terhenti setakat pemilihan itu saja,” ujarnya.
Menurutnya, pemilihan parti selama ini tidak pernah sekalipun melemahkan parti atau merobek semangat anggotanya daripada berhenti berkhidmat kepada rakyat.
Sebaik saja selesai pemilihan katanya, pihak yang kalah atau menang akan kembali seperti sediakala sepertimana nasihat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan rangkul semuanya sebagai satu keluarga, kita Keadilan. Itulah uniknya Keadilan,” ujarnya yang juga Ketua PKR Cabang Pulai.
Tambahnya, pengalaman-pengalaman yang dilalui anggota dan pimpinan parti selama ini sentiasa menjadi pedoman serta panduan untuk membawa parti menjadi lebih kuat pada masa hadapan.- MalaysiaGazette
















