KUALA LUMPUR – Selangor FC mengumumkan perpisahan secara rasmi bersama pertahanan kental, Khuzaimi Piee.
Menerusi satu kenyataan, kelab itu mengucapkan selamat tinggal kepada Khuzaimi di atas segala jasa serta sumbangan selama dua musim bersama.
”Hari ini, kita mengucapkan selamat jalan kepada Khuzaimi Piee atau lebih dikenali sebagai Jimmy yang secara rasmi menamatkan perjalanan dua musimnya bersama keluarga Gergasi Merah.
“Terima kasih atas setiap peluh, setiap langkah demi lencana di dada dan kesetiaan yang tidak pernah luntur,” kata kelab itu.
Justeru, pihak pengurusan Selangor mengambil kesempatan bagi mengucapkan semoga berjaya untuk Khuzaimi Piee di dalam perjalanan karier beliau pada masa yang akan datang.
“Selamat maju jaya, Khuzaimi! Semoga terus cemerlang di mana jua anda berada,” ujar pihak kelab dalam kenyataan sama.
Musim ini, Khuzaimi hanya sekadar beraksi sebanyak empat kali bersama Selangor gara-gara bergelut untuk merebut tempat di dalam pasukan akibat kecederaan.
Masa hadapan pemain berusia 32 tahun ini masih menjadi tanda-tanya apabila timbul angin mengatakan Khuzaimi kan kembali menyertai bekas pasukannya, Negeri Sembilan FC. – MalaysiaGazette
















