Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Kongres Nasional Keadilan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 MEI 2025.

KEKALAHAN Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengetuai puak HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa) menunjukkan berlaku perebutan kuasa antara kem reformis dan kem yang lebih condong kepada pendekatan konservatif dalam PKR.

Kemenangan Nurul Izzah pula yang disokong lebih 200 daripada 222 cabang parti mengukuhkan pengaruh puak yang rapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini juga menimbulkan risiko perpecahan kerana penyokong Rafizi mungkin merasa tersisih.

Malah tuduhan Rafizi terhadap ketidaktelusan sistem pengundian dalam talian (e-voting) untuk mencantas pemimpin tertentu mencetuskan persepsi ketidakadilan dalam proses pemilihan yang boleh melemahkan keyakinan akar umbi terhadap parti.

Isu Nepotisme Dan Persepsi Awam 

Kemenangan Nurul Izzah telah menimbulkan tuduhan nepotisme yang boleh menjejaskan imej PKR sebagai parti yang terkenal berjuang keadilan. Pihak pembangkang memanfaatkan isu ini untuk melemahkan sokongan terhadap PKR menjelang terutamanya PRU16.

PKR kini perlu mengurus persepsi ini dengan komunikasi strategik dengan menegaskan bahawa pemilihan Nurul Izzah adalah berdasarkan merit dan sokongan akar umbi, bukan hubungan keluarga.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli hadir pada Ucapan Dasar dan Perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

Cabaran Hala Tuju Reformasi

Rafizi dikenali sebagai tokoh reformis yang lantang, sering mengkritik dasar kerajaan dan mendedahkan penyelewengan seperti skandal National Feedlot Corporation (NFC). Kekalahannya boleh dilihat sebagai kemunduran bagi agenda reformasi agresif dalam PKR terutama dalam kalangan pengundi bandar dan golongan muda yang menyokong pendekatan sentimen beliau terhadap isu seperti kerjasama dengan UMNO.

Nurul Izzah perlu membuktikan beliau mampu meneruskan agenda reformasi sambil merapatkan jurang dengan penyokong Rafizi untuk mengekalkan solidariti parti.

Kekuatan Jentera Pilihan Raya

Rafizi memainkan peranan besar dalam membina semula PKR selepas PRU15 membantu parti memenangi 82 kerusi Parlimen dan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Kehilangan pengaruh beliau dalam kepimpinan pusat boleh menjejaskan strategi kempen PKR untuk PRU16 terutama dalam menarik pengundi muda.

Nurul Izzah kini perlu memainkan peranan aktif untuk menyakini ahli-ahli parti mengenai amalan demokrasi sentiasa membuka peluang kepada pejuang-pejuang parti untuk berbakti kepada parti.

Reaksi bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi selepas Perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

Impak Peletakan Jawatan dalam Kabinet, Rombakan Kabinet dan Ketidakstabilan

Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa pada 17 Jun ini selepas kekalahannya dalam pemilihan PKR. Bersama-sama dengan peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, ini menimbulkan spekulasi tentang rombakan Kabinet.

Peletakan jawatan ini dilihat sebagai tindak balas atau protes terhadap kekalahan kem Rafizi yang boleh menggugat persepsi terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Kesan kepada Keyakinan Pelabur dan Ekonomi

Sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dasar seperti Pangkalan Data Utama (PADU) dan Dasar Gaji Progresif. Peletakan jawatannya boleh menjejaskan keyakinan pelabur terutama jika pelantikan pengganti seperti Nurul Izzah atau Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Persepsi Ketidakstabilan Kerajaan

Peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi bersama dengan kemungkinan menteri lain dari kem Rafizi seperti Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang turut berundur boleh mencetuskan persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan tidak stabil.

Ini memberi peluang kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan terutama dengan tuduhan bahawa PKR lebih mementingkan politik dalaman daripada tanggungjawab mentadbir.

Mengapa PKR Nampak Kalut? 

Tuduhan Rafizi terhadap ketidaktelusan sistem e-voting dan manipulasi undi telah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial menjejaskan imej PKR sebagai parti demokratik walaupun terdapat pemilihan semula di beberapa cabang.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baharu, Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan pada Sesi Perbahasan Perwakilan Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MEI 2025.

Pertembungan Antara Tokoh Utama

Persaingan antara Rafizi dan Nurul Izzah yang kedua-duanya dilihat tercetusnya kontroversi dan konfrantasi dalaman. Kekecewaan penyokong Rafizi seperti yang dinyatakan dalam hantaran di X menunjukkan sentimen bahawa parti telah ‘mengkhianati’ tokoh berkaliber seperti Rafizi. Kekecewaan ini perlu ditangani dengan cepat untuk mengelakkan perpecahan lanjut.

Tekanan Luaran

Pembangkang terutama PN dijangka memanfaatkan kekalutan ini untuk menyerang PKR dan Kerajaan Perpaduan dengan menonjolkan isu nepotisme dan ketidakstabilan dalaman. Ini boleh melemahkan kedudukan PKR dalam menghadapi PRU16 terutama jika isu-isu seperti PADU dan subsidi bersasar terus dikritik.

Kesimpulan

Kekalahan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR dan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi telah mencetuskan gelombang ketidakstabilan dalam parti dan kerajaan. PKR perlu bertindak pantas untuk menyatukan semula pemimpin dan penyokong, menangani tuduhan nepotisme dan memastikan proses pemilihan dilihat sebagai telus.

Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden baru perlu membuktikan keupayaannya untuk merapatkan jurang dalaman dan meneruskan agenda reformasi sambil mengukuhkan jentera parti menjelang PRU16.

Bagi Kerajaan Perpaduan, pelantikan pengganti Rafizi yang berkredibiliti adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan rakyat. Sekiranya tidak diurus dengan baik, kekalutan ini boleh melemahkan kedudukan PKR dan kerajaan dalam jangka panjang. – MalaysiaGazette

Oleh Ts Dr Syed Agil Alsagoff  merupakan penganalisis politik dan juga Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast