KUALA LUMPUR – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) oleh Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memiliki kelebihan tersendiri berbanding pelbagai instrumen simpanan atau tabungan pendidikan lain di pasaran ketika ini.
Pakar ekonomi berpendapat, selain pendeposit mendapat pelapasan taksiran cukai pendapatan, kebijaksanaan pengurusan PTPTN dalam memilih portfolio pelaburan juga menyebabkan agensi itu berjaya meraih pulangan yang membanggakan.
Ini dibuktikan menerusi kejayaan PTPTN merekodkan dividen sebanyak 4.05 peratus pada 2024, tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Agihan dividen 4.05 peratus ini memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit dengan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM439.87 juta. Kadar ini meningkat berbanding 3.60 peratus pada tahun 2023, hasil strategi pelaburan patuh syariah yang berkesan serta pengurusan risiko yang strategik.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, keputusan PTPTN untuk memilih pelaburan dalam kelas aset berisiko rendah dapat membantu entiti itu mengekalkan prestasi yang konsisten pada masa akan datang.

Katanya, pemilihan strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif,”Ibu bapa boleh sahaja memilih untuk menyimpan di mana-mana (instrumen tabungan pendidikan anak-anak) tetapi setiap instrumen itu mempunyai risiko tersendiri.
“Namun dalam kes ini, pihak PTPTN memilih untuk melabur dalam kelas aset berisiko rendah.
“Maka dengan melabur dalam kelas aset berisiko rendah ini, ia dapat membantu pihak PTPTN mengekalkan prestasi yang konsisten pada masa akan datang. Saya kira perkara ini perlu diraikan dan diwar-warkan,” katanya dalam satu temubual bersama MalaysiaGazette, di sini.
Tambah beliau, bukan sekadar merekodkan dividen tertinggi dalam tempoh sedekad, malah kecekapan pegawai-pegawai PTPTN juga dibuktikan menerusi pembayaran dividen mengatasi kadar inflasi.
“Angka 4.05 peratus ini jika kita lihat dari perspektif ekonomi ia memang melebihi kadar inflasi. Kadar inflasi jangka panjang adalah sekitar 2.5 peratus jadi apabila PTPTN merekodkan dividen 4.05 peratus, maksudnya pulangan kepada pendeposit telah mengambil kira inflasi malah ada lebihan lagi,” ujarnya.
Tambah Dr Mohd Afzanizam, pemberian dividen yang tinggi pastinya akan menarik minat lebih ramai pendeposit untuk menyertai skim simpanan tersebut terutamanya ibu bapa yang merancang keperluan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Katanya, ramai ibu bapa kini sedar bahawa kos sara hidup dan kos pendidikan semakin meningkat saban tahun yang menyebabkan mereka perlu membuat perancangan lebih awal. -MalaysiaGazette
















